Bahan ‘bukti’ kes Yusoff Rawther milik siapa sebenarnya?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Muhammed Yusoff Rawther di mana hakim melepaskan dan membebaskan tertuduh, wujud isu yang perlu diluruskan kembali.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Hubungan NGO dan Seranta PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, khususnya berkaitan dakwaan tertuduh dimangsakan dan teraniaya, serta pertuduhan dibawakan oleh pihak berkuasa.

“Jelas wujud kecurigaan yang besar, menggemparkan dan menakutkan sesiapa sahaja seandainya terkena ‘plot’ tuduhan seumpama itu. Kesangsian ibarat bangkai gajah yang sukar ditutup dengan daud pisang.

“Pihak berkuasa, khususnya Menteri Dalam Negeri mesti tampil menjelaskan. Ketika sama, suatu siasatan perlu diadakan untuk menjawab persoalan kepunyaan siapa atau daripada mana datangnya ‘bahan bukti’ itu.

“Pasti ada ‘pemilik’ atau punca yang perlu dipertanggungjawabkan, jangan ia dibiarkan kosong tanpa ada jawapan,” ujar beliau merujuk dadah jenis kanabis dan pistol tiruan yang dikatakan ditemui dalam kereta Yusoff.

Menurut Kamaruzaman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok, jika tidak, wibawa pihak berkuasa terlibat akan terus dipertikaikan dan tidak dihormati, malah akan dilihat menjadi ‘budak suruhan’ pihak berkepentingan.

“Semua yang berlaku, harus bergerak dalam kerangka sah Perlembagaan dan peruntukan undang-undang sedia ada. Tiada siapa patut mengatasinya dan tidak ada siapa boleh mencabulinya (undang-undang).

“Rakyat yang cakna dan bermaruah adalah sebaik-baik pertahanan untuk memastikan kedaulatan ini dipertahankan biarpun perjuangannya berdepan mehnah tribulasi berat,” ujar beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau terdahulu mengucapkan tahniah dan syabas serta menyifatkan Yusoff Rawther, barisan peguam belanya dan para penyokong anak muda itu boleh dianggap sebagai rakyat yang mempertahankan hak.

Termasuk juga katanya, kepada hakim dan mahkamah yang telah membuktikan kredibiliti institusi tersebut tetap kekal bebas dan berintegriti di mana ia menjadi contoh dan teladan perlu diambil setiap warganegara Malaysia atas cintakan tanah air.

Seru Kamaruzaman, setiap rakyat perlu sama-sama menjaga untuk memastikan suatu ketetapan atau sistem negara utuh dan berprinsip, serta turut berdiri dan bangkit untuk mengekang sebarang noda dan salah guna. – HARAKAHDAILY 14/6/2025

- Advertisement -