
KEDAULATAN undang-undang perlu sentiasa dijunjung dan dipertahankan sebagai maruah terpenting negara ini. Ketika sama, hak dan jaminan setiap warganegara untuk hidup bebas, aman dan damai sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan turut perlu diperakui.
Kelmarin, negara menyaksikan keputusan penting perundangan negara dalam kes perbicaraan ke atas seorang anak muda bernama Muhammed Yusoff Rawther, 32 tahun. Sebagaimana diketahui umum beliau telah dilepaskan dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi.
Wajar disokong, mahkamah kita yang menjadi medan penting dalam pelbagai ‘isu, polemik dan konflik’, kekal berintegriti tinggi dan bebas. Walaupun secara umum dilihat kes itu di sebaliknya ada ‘ombak dan taufan’ menghempas dan membadai serta ‘bayangan’ lembaga dan ‘kuku’ mencengkam.
Rakyat wajar untuk merasa cemas dan bimbang seandainya dalam usaha menyelamatkan hak peribadi, telah menggugat sang pemerintah yang berkepentingan. Tentunya lebih malang menghadapi pula aparat atau algojo yang terpaksa mengikut telunjuk dan ‘jalan cerita’ direncana.
Syukur, hakim dalam peradilannya ke atas kes itu telah memberi keputusan tersebut setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie. Walaupun barang bukti tersebut wujud, tetapi elemen penting untuk mengaitkannya dengan tertuduh tidak berjaya dibuktikan dari penguat kuasa.
Namun, hal ini tidak harus berakhir dengan keputusan tersebut dan tertuduh akhirnya dilepas bebas, kerana ada kepincangan sistem yang masih penting ditangani. Dalam hal ini wujudnya ruang keraguan terhadap penguat kuasa dan pemerintah yang terlihat seakan berkomplot suatu konspirasi.
Mungkin ia ‘misi’ penganiayaan konstruktif yang gagal, tetapi kerana berlaku melibatkan penggunaan kapasiti dan premis negara, maka ia memerlukan penjelasan dan siasatan. Institusi berkenaan tidak harus menjadi alat atau diperalatkan oleh sesiapapun. Seluruh warga Malaysia mesti berganding bahu mempertahankannya!
MOHAMAD ROSHARIZAN MOHD ROZLAN
Pengerusi
Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia) – HARAKAHDAILY 14/6/2025











