
TEHRAN: Iran melancarkan serangan balas ke atas Israel pada malam Jumaat, susulan tindakan rejim Zionis menyerang beberapa lokasi di wilayah Iran, termasuk kawasan kediaman, awal pagi sebelumnya.
Menurut Agensi Berita Republik Islam (IRNA), serangan oleh Angkatan Bersenjata Republik Islam Iran itu berlaku beberapa jam selepas pencerobohan tanpa provokasi oleh Israel, yang menyebabkan kematian pegawai tertinggi tentera serta orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak di Tehran dan beberapa bandar lain.
Rakaman serta imej yang disiarkan memaparkan peluru berpandu Iran menembusi sistem pertahanan udara Israel dan meletup sebaik mengenai sasaran.
Bola api besar menerangi langit malam di Tel Aviv dan Baitulmuqaddis, manakala bangunan Kementerian Perang Israel turut terkena serangan. Bateri pertahanan udara Israel yang mengelilingi beberapa lokasi berprofil tinggi juga dimusnahkan.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dalam kenyataan awal menyatakan bahawa puluhan sasaran Israel, termasuk tapak ketenteraan dan pangkalan udara, diserang dengan tepat.
Kenyataan kedua sekitar tengah malam menyebut unit peluru berpandu dan dron Iran menyasarkan pangkalan tentera Israel yang digunakan untuk melancarkan serangan ke atas Iran serta kemudahan pembuatan senjata dan tapak ketenteraan lain.
Maklumat risikan termasuk imej satelit mengesahkan puluhan peluru berpandu balistik mengenai sasaran seperti dirancang.
Serangan Israel sebelum ini menyasarkan ibu pejabat IRGC di Tehran dan beberapa loji tenaga nuklear.
Ketua IRGC, Mejar Jeneral Hossein Salami, dan Pengerusi Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral Mohammad Baqeri, terbunuh dalam serangan tersebut.
Media tempatan turut melaporkan kematian dua saintis nuklear terkenal, Mohammad-Mehdi Tehranchi dan Fereydoun Abbasi, dalam serangan berasingan.
Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei, sejurus sebelum serangan balas Iran bermula, menegaskan bahawa tindakan keras akan diambil terhadap Israel.
“Kami tidak akan berlembut. Kehidupan mereka pasti menjadi suram,” katanya dalam ucapan disiarkan secara langsung.
Pentadbiran Presiden Masoud Pezeshkian pula menyatakan bahawa Iran sudah mula mengambil langkah pertahanan, politik dan perundangan bagi memastikan Israel “menyesal atas serangan itu”, malah tidak akan memberikannya “walau sedetik ketenangan pun”.
Kenyataan itu juga menegaskan bahawa dengan rejim buas seperti Israel, hanya bahasa kekuatan yang sesuai digunakan.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan bahawa tapak nuklear Natanz merupakan antara sasaran serangan Israel, dan kini sedang memantau tahap radiasi bersama pihak berkuasa Iran.
Dalam serangan balas Iran ke atas Tel Aviv, lebih 40 orang dilaporkan cedera termasuk dua parah.
Tentera Israel memaklumkan bahawa kurang daripada 100 peluru berpandu dilancarkan oleh Iran, namun kebanyakannya berjaya dipintas.
Dua pegawai Amerika Syarikat turut mengesahkan bahawa tentera mereka membantu memintas peluru berpandu Iran yang menuju ke Israel.
Ketika komuniti antarabangsa menyeru agar ketegangan dikendurkan, insiden ini mencetuskan kebimbangan baharu terhadap potensi tercetusnya konflik berskala besar di rantau Asia Barat. – HARAKAHDAILY 14/6/2025











