
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menyifatkan pelaksanaan hampir serentak tiga dasar utama kerajaan Madani – perluasan skop cukai SST, kenaikan tarif asas elektrik dan pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 – bakal memberi tekanan berganda kepada rakyat serta komuniti peniaga.
Ketua Penerangan PN, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, dasar-dasar yang dirancang bermula dalam separuh kedua tahun 2025 ini bakal memburukkan lagi kesan kenaikan kos sara hidup yang masih belum reda sejak tahun lalu.
Menurut beliau, impak dasar kerajaan pada tahun 2024 seperti kenaikan SST kepada 8 peratus, peluasan cukai sektor logistik dan kenaikan harga diesel sebanyak 56 peratus telah mengheret rakyat ke dalam rantaian kesan berganda yang mengakibatkan lonjakan harga barang dan peningkatan kos perniagaan.
“Rakyat baru sahaja merasai kesan dasar 2024, kini kerajaan mahu terus menambah beban dengan memperluas lagi cukai dan menaikkan tarif tenaga. Ini satu tindakan yang tidak prihatin terhadap realiti di lapangan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
SST diperluas secara agresif
Perluasan skop SST yang dijadual bermula 1 Julai 2025 dikritik hebat kerana merangkumi pertambahan drastik senarai barangan dikenakan cukai – dari 62 kepada 222 muka surat – manakala senarai barangan yang dikecualikan cukai menurun mendadak daripada 282 kepada hanya 103 muka surat.
Kerajaan sebelum ini memberi gambaran bahawa hanya barangan ‘premium’ seperti ikan salmon dan avokado akan dikenakan cukai, namun PN mendakwa gambaran itu mengelirukan kerana senarai sebenar jauh lebih menyeluruh.
“Skop cukai perkhidmatan juga diperluas tanpa rundingan telus, melibatkan sektor penting seperti sewaan, pembinaan, kewangan dan pendidikan. Ini pasti akan melonjakkan kos operasi perniagaan dan akhirnya membebankan pengguna,” tegas Radzi.
Kenaikan tarif elektrik tidak boleh dipandang ringan
Beliau turut membidas kenaikan tarif asas elektrik yang diumumkan TNB berkuatkuasa 1 Julai, yang walaupun kononnya tidak melibatkan 85 peratus pengguna domestik, tetap akan memberi impak besar kepada kos operasi perniagaan.
“Apabila kos pengeluaran meningkat, peniaga tiada pilihan selain menaikkan harga barang dan perkhidmatan. Akhirnya rakyat juga yang akan menanggung beban,” katanya.
Subsidi bersasar tanpa kerangka jelas
PN turut membangkitkan kegagalan kerajaan menjelaskan takrif kumpulan T15 yang bakal menanggung harga petrol RON95 lebih tinggi, walaupun subsidi bersasar dijadualkan dilaksana pertengahan tahun ini.
“Kerajaan beri jaminan 85 peratus rakyat tidak terkesan, tapi siapa sebenarnya T15 itu masih belum diumum sehingga suku kedua tahun ini. Ini menimbulkan ketidakpastian dan kebimbangan,” katanya.
PN mencadangkan supaya subsidi bersasar ditangguhkan sehingga kerajaan mempunyai kerangka perlaksanaan yang jelas dan sebuah agensi tunggal diwujudkan sebagai pusat sehenti menyelaras bantuan kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 15 Jun 2025











