
KUALA LUMPUR: PAS mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaru rejim Israel ke atas Iran yang dikatakan bukan sahaja berpotensi memburukkan lagi ketegangan di rantau berkenaan, malah mendedahkan niat sebenar Israel untuk menggagalkan semua usaha penyelesaian diplomatik kepada konflik yang berlaku.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, berdasarkan laporan, serangan awal pagi Jumaat itu yang dilancarkan oleh angkatan tentera Israel (IDF) serta agensi risikannya, Mossad, menyasarkan pelbagai lokasi strategik termasuk tapak nuklear, kediaman pimpinan kanan tentera, saintis, pakar nuklear, serta pangkalan dan kemudahan tentera Iran.
“Sumber tentera Israel dilaporkan berkata, ia melancarkan lima gelombang serangan melibatkan beratus-ratus serangan di sekurang-kurangnya lapan lokasi sasaran. Antara lokasi yang diserang ialah Tehran, Tabriz, Kermanshah, Natanz, Arak, Ilam, Isfahan dan Ahvaz,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, setakat ini, antara tokoh penting yang dilaporkan terkorban ialah Pemerintah Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Hossein Salami; Komander Kanan IRGC, Gholam Ali Rashid; dan Penasihat kepada Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, iaitu Ali Shamkhani.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, berdasarkan rentetan peristiwa dan tindakan rejim di rantau terbabit yang semakin agresif sejak serangan 7 Oktober 2023, jelas bahawa Israel mahu menghapuskan semua pesaing terhadap kuasa hegemoni dan objektif peluasan wilayahnya.
“Ini termasuk Iran yang menjadi sasaran terbesar setelah pencabar-pencabar lain dilumpuhkan sebelum ini, melalui operasi pembunuhan tokoh dan individu penting negara pesaing sama ada tentera atau bukan tentera yang dilihat boleh menjadi ancaman kepada Israel,” terangnya.
Justeru, PAS menurutnya menegaskan bahawa semua pihak yang mencintai keamanan dan penyelesaian damai perlu mengutuk keras serangan Israel itu serta semua tindakan ganas yang menyalahi undang-undang dan konsensus antarabangsa oleh rejim berkenaan.
Katanya, tindakan Israel hanya akan mengheret dunia ke dalam konflik lebih besar dan lebih meluas, termasuk memberi kesan destruktif terhadap perdagangan dan ekonomi global.
Dalam masa sama tambahnya, PAS turut menggesa Putrajaya tampil dengan kenyataan tegas dan jelas berhubung perkembangan itu.
“(Putrajaya juga perlu) memanfaatkan kedudukan negara selaku Pengerusi ASEAN bukan sahaja untuk menggembleng dan menjuarai suara serta komitmen negara anggota ke arah penyuraian konflik yang berlaku, tetapi turut memainkan peranan lebih besar dan berkesan di pentas dunia,” katanya.
Takiyuddin berkata, antara platform yang boleh digunakan termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Negara-Negara Komanwel bagi mencapai matlamat keamanan global. – HARAKAHDAILY 15/6/2025











