Jangan ulangi luka pertembungan sesama sendiri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah mengingatkan umat Islam agar tidak mengulangi peristiwa pertembungan sesama sendiri seperti yang berlaku dalam sejarah Islam, khususnya Perang Jamal.

Beliau berkata, peristiwa menyayat hati itu menyaksikan dua kelompok mukmin yang masing-masing berniat baik, tetapi diselewengkan oleh suasana dan permainan pihak ketiga hingga menyebabkan pertumpahan darah tidak pernah diniatkan.

“Allah telah berfirman dalam Surah Al-Hujurat, bahawa jika dua golongan dari kalangan orang beriman itu berperang, maka kewajipan kita ialah mendamaikan antara mereka. Namun jika salah satu daripada mereka bertindak melampaui batas, maka perlulah dilawan hingga mereka kembali kepada perintah Allah.

“Dan apabila mereka kembali patuh, maka damaikanlah pula dengan penuh keadilan, kerana Allah sangat menyukai orang yang berlaku adil,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Beliau berkata, ayat itu bukan sekadar petunjuk, tetapi cerminan kepada apa yang pernah terjadi kepada generasi umat terbaik selepas pembunuhan zalim terhadap Sayyidina Uthman, hingga umat berada dalam kekacauan dan Sayyidina Ali dilantik menjadi khalifah dalam suasana sangat gawat.

Menurutnya, Sayyidatina Aisyah yang terganggu dengan pembunuhan kejam itu mahu menuntut keadilan atas kematian Uthman dan bergerak dari Makkah ke Basrah bersama dua Sahabat agung, Zubair bin Al-Awwam dan Talhah bin Ubaidillah.

“Perhimpunan mereka di Basrah menarik perhatian ramai, hingga mencecah ribuan orang. Sayyidina Ali pula, yang memimpin dari Madinah, apabila mendengar tentang pergerakan besar ini, turut bertolak ke Basrah, bukan untuk berperang, tetapi untuk memahami tujuan mereka.

“Namun malangnya, suasana ketika itu telah dicemari oleh tangan-tangan yang mahu melihat umat ini hancur dari dalam. Fitnah merebak, provokasi terjadi, dan akhirnya dua kumpulan mukmin ini terheret dalam pertempuran yang tidak pernah diniatkan,” terangnya.

Tambah Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu, kekecohan tersebut menjadikan unta yang dinaiki oleh Sayyidatina Aisyah sebagai tumpuan, yang menyebabkan peristiwa itu dinamakan Perang Jamal atau Perang Unta.

Katanya, peristiwa itu menyaksikan air mata lebih banyak tumpah daripada darah yang mengalir dan menjadi pengajaran bahawa walau sebaik mana niat serta peribadi umat Islam, jika hilang titik persefahaman dan dikelirukan fitnah, maka pertumpahan darah sesama mukmin tetap boleh berlaku.

“Namun, seperti yang diajarkan oleh ayat tadi, selepas kekeliruan itu berlalu, mereka saling memaafkan. Talhah dan Zubair meninggal dunia dalam pertempuran tersebut. Aisyah dibawa pulang dengan penuh penghormatan oleh Sayyidina Ali sendiri. Tidak ada dendam. Hanya air mata dan penyesalan,” kupasnya.

Beliau berkata, Islam mengajar umatnya untuk berlaku adil, mendamaikan dan menjaga hati umat agar tidak terus retak kerana perpecahan umat akan menguntungkan musuh.

Menurutnya, sejarah itu terus hidup untuk umat hari ini membaca dan memahami agar tidak mengulangi luka yang sama, lebih-lebih lagi apabila dua puak dari kalangan orang Islam bertembung hingga mengakibatkan pertumpahan darah.

“Allah mengarahkan supaya orang-orang beriman yang lain bangkit untuk mendamaikan mereka. Bukan sekadar menasihati, tetapi bertindak mengusahakan perdamaian dengan kuasa dan pengaruh yang ada,” katanya mengambil pengajaran daripada ayat kesembilan surah al-Hujurat.

Mohd Amar berkata, membunuh sesama umat Islam adalah bala besar dan darah seorang mukmin tidak boleh ditumpahkan sesuka hati kerana kehormatan darah, harta dan maruah seorang Muslim lebih besar daripada kehormatan Kaabah.

Katanya, jika usaha untuk berdamai gagal dan masih ada pihak yang terus melakukan kezaliman, maka pihak itu mesti dilawan bagi menghalang kemusnahan lebih besar.

“Dalam suasana ini, dibenarkan untuk berpakat dengan pihak yang mahu berdamai untuk sama-sama melawan kezaliman, demi mengembalikan keamanan. Tapi semuanya mesti dilakukan dengan niat untuk mengembalikan kebenaran, bukan kerana nafsu kuasa,” terangnya.

Beliau turut merujuk sejarah moden umat Islam seperti di Iraq, Yaman dan Afghanistan yang asalnya bersatu melawan musuh luar, namun kemudian hancur akibat perpecahan dalaman.

“Di Afghanistan misalnya, seluruh kekuatan umat Islam tumpu untuk menewaskan Rusia yang menceroboh. Tetapi setelah Rusia keluar, negara itu hancur bukan kerana musuh luar lagi, tetapi kerana sesama mereka tidak sepakat.

“Taliban dan kumpulan kerajaan bertempur bertahun-tahun lamanya. Darah sesama sendiri mengalir tanpa henti. Ribuan yang mati. Hinggalah akhirnya Taliban kembali berkuasa, dan perang pun berhenti. Tapi nak sampai ke situ, makan masa berpuluh tahun,” ceritanya.

Beliau berkata, apabila umat berpecah dan saling berbunuhan, syaitan bersorak dan keuntungan bukan pada Islam, sebaliknya berpihak kepada musuh yang menanti peluang.

“Maka siapa pun yang ada kuasa, pengaruh, atau keupayaan, wajib berusaha untuk mendamaikan. Jangan biar sengketa menjadi nyawa,” nasihat.

Menurutnya, cabaran besar umat Islam hari ini ialah pertempuran dalam bentuk politik, media sosial dan perbezaan pendapat sesama sendiri yang boleh berubah menjadi permusuhan berpanjangan.

“Jangan hanya tengok dan diam. Jika tak mampu bertindak besar, sekurang-kurangnya doakan keamanan. Jangan jadi tukang tambah api, tetapi jadilah penyejuk bara.

“Itulah jalan yang diajar oleh agama. Jalan yang menuntut keadilan, kasih sayang, dan tanggungjawab terhadap darah umat ini. Hari ini kita juga sedang berperang, bukan dengan senjata, tetapi melalui pentas politik, media sosial, dan perbezaan pendapat dalam kalangan umat sendiri.

“Masing-masing mendakwa pihaknya benar. Masing-masing berpegang pada hujah, dan kadang-kadang bertukar menjadi permusuhan yang tidak berkesudahan. Bila sampai ke tahap ini, bagaimana caranya untuk keluar dari belenggu ini?” persoalnya.

Katanya, jalan keluar dari situasi ini ialah dengan kembali kepada agama dan panduan wahyu.

“Kita tidak akan pernah mampu menyelesaikan perbezaan jika pedoman kita bukan lagi al-Quran dan sunnah. Selagi mana kita berpaut kepada logik kelompok, emosi, dan agenda peribadi, selagi itulah perbalahan akan terus membarah,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/6/2025

- Advertisement -
- Advertisement -