Tragedi di Melaka: ‘Tega membunuh ibunya sendiri’

Muslimat PAS seru muhasabah, perbaiki ekosistem kekeluargaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustazah Nuridah Mohd Salleh melahirkan rasa sedih dan pilu susulan kejadian tragis di Bukit Rambai, Melaka yang menyaksikan seorang pelajar lelaki didakwa membunuh ibu dan abang kandungnya serta mencederakan adik bongsunya.

Katanya, sebagai seorang ibu dan pendidik, beliau tidak dapat membayangkan perasaan wanita yang mendidik anaknya sejak kecil dengan kasih sayang dan pengorbanan, tetapi akhirnya nyawa wanita itu sendiri ditamatkan oleh darah dagingnya sendiri.

“Sebagai seorang pendidik pula, saya turut merasakan luka yang mendalam kerana mangsa adalah juga seorang guru. Kejadian ini bukan sekadar kisah jenayah, tetapi cerminan kepada krisis jiwa, komunikasi yang terputus serta tekanan yang tidak ditangani dengan baik.

“Ia adalah jeritan sunyi seorang anak yang mungkin tidak benar-benar difahami,” ujarnya Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pihak mengambil iktibar dan muhasabah dengan memberi penekanan terhadap skil keibubapaan yang seimbang antara kasih sayang dan ketegasan, khususnya dalam dunia moden serba pantas dan berprestasi tinggi.

“Dengar dan fahami emosi anak-anak. Marah bukan jalan utama. Kadang-kadang anak hanya mahu difahami, bukan diceramahkan. Didik dengan hikmah, bukan tekanan. Kejayaan akademik bukan segala-galanya.

“Anak kita bukan projek untuk dibanggakan, tetapi amanah untuk dibimbing menuju syurga,” nasihatnya agar ibu bapa membangunkan komunikasi dua hala dan memerhati perubahan tingkah laku anak seperti menjadi pendiam.

Juga menjauhkan diri atau murung, seterusnya bertindak awal dengan bantuan profesional atau individu yang dipercayai anak-anak dan dalam masa sama, menyeru anak-anak muda supaya tidak membiarkan tekanan hidup menjadi ruang untuk syaitan menguasai fikiran dan hati.

“Ingatlah bahawa ibu dan ayah adalah pintu syurga. Jika mereka silap, doakan, bukan lukakan. Tiada masalah yang tidak boleh diredakan dengan sabar dan doa. Cari jalan damai, bercakap, menulis, menangis, atau minta bantuan,” nasihatnya lagi.

Menurut beliau, Islam mengajar umatnya untuk mengurus emosi dengan cara yang betul, bukan mengikut amarah yang membinasakan.

“Ambil Islam sebagai cara hidup. Dalam Islam, emosi kita tidak dipandang remeh. Bahkan, Islam mengajar cara mengurus amarah, sedih, kecewa dan tekanan jiwa.

“Saya menyeru agar semua pihak, ibu bapa, guru, masyarakat, pihak berkuasa dan institusi dakwah, sama-sama bangun memperbaiki ekosistem pendidikan anak-anak kita.

“Biarlah tragedi ini membuka mata, agar tiada lagi air mata tumpah dalam senyap, tiada lagi suara anak-anak terpendam hingga menjadi racun dalam jiwa,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/6/2025

- Advertisement -
- Advertisement -