
JERTIH: Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM77,000 berupa sumbangan tunai kepada mangsa kemalangan bas yang membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu.
Sumbangan itu melibatkan bayaran RM1,000 setiap seorang kepada pelajar yang terselamat dan sebanyak RM3,000 kepada keluarga mangsa meninggal dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Negeri, Maliaman Kassim berkata, sumbangan turut diberikan kepada keluarga pemandu kereta Perodua Alza, Ustaz Mohd Lutfi Radzi, 37.
Menurut beliau, pemandu bas dan kelindannya juga masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM1,000.
Katanya, beliau menziarahi beberapa mangsa yang kini berehat di rumah masing-masing di Kampung Padang Luas dan Kampung Lak Lok, juga mangsa yang masih menerima rawatan di Hospital Besut.
Kemalangan tragis berlaku di Gerik, Perak itu telah mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) manakala beberapa lagi mengalami kecederaan apabila bas dinaiki terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
Kerajaan negeri juga akan menanggung sepenuhnya kos rawatan perubatan melalui Tabung Darul Iman termasuk pembelian peralatan sokongan kesihatan.
Pesakit boleh membuat tuntutan tambahan dengan mengemukakan bil perubatan atau surat jaminan (GL).
“Kerajaan Terengganu juga akan menanggung sepenuhnya kos pembedahan Wan Nor Masyitah Wan Hussin yang cedera parah dalam kemalangan itu,” katanya.
Kunjungan itu bertujuan menyuntik semangat dan memberikan sokongan moral kepada mangsa serta memastikan proses pembelajaran pelajar tidak terganggu.
“Sumbangan RM1,000 telah disampaikan kepada mangsa dan keluarga, manakala tambahan RM2,000 akan disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada keluarga mangsa yang terkorban,” ujarnya.
Sumbangan ini jelasnya, sebagai tanda simpati dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap mereka yang terlibat.
Beliau menyeru agar keluarga mangsa yang memerlukan bantuan tambahan dapat menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat ADUN masing-masing atau Tabung Darul Iman secara langsung.
Tambahnya, lapan lagi mangsa yang masih dirawat di Hospital Taiping dan Ipoh turut diberi perhatian oleh kerajaan negeri.
“Saya bersama Menteri Besar akan menziarahi mereka di hospital berkenaan pada 15 Jun dan akan kembali ke Besut pada 17 Jun ini,” katanya.
Sumbangan kepada Ustaz Mohd Lutfi pula diserahkan Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Hanafiah Mat yang berkunjung ziarah menemui keluarga tersebut di Hospital Baling, Kedah, semalam.
“Keadaan mereka semakin baik dan dipantau oleh pihak hospital,” ujarnya memaklumkan telah menyampaikan sumbangan peribadi RM1,000 kepada mereka dan mewakili Kerajaan Negeri Terengganu, menyampaikan sumbangan RM4,000.
Kehadiran beliau diiringi Ahli Parlimen Baling, Ustaz Hassan Saad. – HARAKAHDAILY 15/6/2025











