Bukan penstrukturan tetapi perkukuh PN hadapi PRN Sabah

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS menafikan penstrukturan semula Perikatan Nasional (PN), sebaliknya langkah itu dibuat bagi memperkukuhkan PN untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sehubungan itu pimpinan tertinggi PN menyatakan persetujuan untuk melantik lima individu menganggotai jawatankuasa tersebut.

Beliau berkata, pihaknya sudah melantik Timbalan Presiden dari parti komponen PN, PAS, BERSATU, GERAKAN dan MIPP bagi menganggotai jawatankuasa tersebut.

“Kita setuju untuk tubuh sebuah jawatankuasa dianggotai lima orang setiap parti dan beri mandat untuk duduk dan bincang. Jadi kita setuju untuk lantik dan masih di peringkat awal lagi.

“Cuma penambahbaikan itu sifatnya sentiasa ada, bila kita hadapi situasi keadaan ini kita perkukuhkan PN ini, nak siap persediaan ke arah PRN Sabah, lihat strategi dalam PRN kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Kota Bharu Kali Ke-58 di Kelantan Trade Center (KTC), di sini pagi tadi.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu merangkap Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong, Shaari Mat Yaman.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, Jawatankuasa PN Peringkat Negeri Sabah sudah mengadakan mesyuarat pertamanya pada 12 Jun lalu bagi memperkukuhkan jentera PN bagi PRN Sabah.

Bahkan beliau berkata, dalam pilihan raya itu PAS akan menghantar beberapa orang calonnya atas nama PN bersama parti komponen lain untuk hadapi pilihan raya dijangka diadakan September ini.

“Dalam hal ini kita tiada masalah apa, soal pensturkturan semula PN ini tidak timbul langsung, inilah yang kita sedang bincang untuk perkukuhkan PN terutamanya fokus kepada PRN Sabah kelak.

“Perbincangan ini masih peringkat awal, jawatankuasa ini juga mengadakan mesyuarat 12 Jun baru ni, dan kita kita perkukuhkan jentera PN di Sabah dan kali ini PAS akan turun calon atas nama PN,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/6/2025

- Advertisement -