4,104 barangan dan perkhidmatan dikenakan SST

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia bakal melalui dan menyaksikan satu lagi episod keperitan hidup, susulan peluasan cukai SST antara 5 hingga 10 peratus ke atas 4,104 kategori barangan dan perkhidmatan akan dikenakan ke atas rakyat mulai 1 Julai nanti.

- Advertisement -

Ketua Portfolio Pertanian dan Keterjaminan Makanan Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Ronald Kiandee berkata, peluasan SST ini dibuat ketika sudah banyak subsidi dipotong dan ketika rasionalisasi RON95 bakal dilaksanakan.

“(Juga) ketika tarif elektrik akan dinaikkan, ketika Bank Dunia baru sahaja mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia untuk 2025 jatuh kepada 3.9 peratus dan ketika rakyat sudah sedia terbeban dengan kos sara hidup yang melambung tinggi.

“Ketika impati yang diharapkan, kerajaan memilih untuk menambah beban walaupun rakyat sedang lemas. Dulu, Perdana Menteri kata hanya barangan mewah dikenakan perluasan SST. Kononnya rakyat biasa tak terkesan.

“PMX bagi contoh salmon dan avocado. Tapi hari ini, pisang, epal, oren, mangga pun dikenakan SST. Perkhidmatan jagaan warga emas dikenakan cukai. Ibu-ibu yang hendak bersalin pun dikenakan SST. Sewa, pakej perkahwinan dan perkhidmatan kesihatan tidak terkecuali.

“Siapa makan buah-buahan ini? Maha kaya atau rakyat biasa? Siapa perlukan jagaan warga emas dan rawatan bersalin ini? Maha kaya atau rakyat biasa? Rupanya, semua ini bukan lagi keperluan rakyat, tetapi kini dianggap ‘nilai kemewahan’ oleh Kerajaan Madani yang wajib diSSTkan.

“Realitinya, peluasan SST ini akan menekan semua lapisan rakyat, dari pasangan muda yang nak berkahwin, ibu bersalin, warga emas dan yang paling terkesan tentulah golongan B40,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Beluran.

Kerana menurut Dr Ronald, Malaysia bergantung kepada import makanan bernilai RM75.6 bilion setahun, yang mana setiap kenaikan cukai akan diterjemahkan kepada rantaian kenaikan harga makanan.

Bidasnya, peluasan SST ini adalah bukti kerajaan tiada impati kepada nasib rakyat serta bukti jelas betapa Kerajaan Madani hari ini tandus idea untuk mencipta sumber kekayaan baharu bagi membesarkan kek ekonomi negara.

“Sebaliknya hanya bergantung kepada penguatkuasan cukai dan pengurangan subsidi yang menjerut rakyat,” tempelak beliau yang juga Naib Presiden BERSATU. – HARAKAHDAILY 14/6/2025

- Advertisement -