
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengisytiharkan Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai 2025 sebagai satu manifestasi besar rakyat Malaysia yang sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, setelah 933 hari Kerajaan Madani memegang tampuk kuasa, dapat disaksikan pelbagai bentuk kegagalan yang membebankan rakyat dan mencengkam demokrasi negara.
Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, rakyat hari ini semakin tertekan dengan kenaikan kos sara hidup, ketidakstabilan ekonomi, dasar-dasar tidak mesra rakyat serta hilangnya hala tuju pentadbiran negara.
“Apa yang lebih mengecewakan, Perdana Menteri sendiri mengakui bahawa janji reformasi yang dilaungkan selama ini masih belum dapat dilaksanakan kononnya kerana tidak mendapat konsensus politik.
“Ini membuktikan bahawa segala janji perubahan hanyalah retorik yang digunakan semata-mata untuk mengekalkan kuasa. Rakyat dibebani dengan pelbagai kenaikan kos termasuk tarif elektrik dan gas tidak bersubsidi yang dipaksa ke atas peniaga kecil.
“Dalam masa yang sama, ruang untuk rakyat bersuara juga semakin disekat. Kritikan di media sosial disekat, komen rakyat dipadam, emoji marah pun disorok daripada paparan awam,” bidasnya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini hari ini.
Malah katanya, penjawat awam dan ahli parti sendiri ditekan sekiranya tidak sehaluan dengan Presiden parti yang kini menjadi Perdana Menteri, bermakna ini bukan lagi kerajaan reformasi, tetapi ini kerajaan yang takutkan suara rakyat dan menyekat hak asasi untuk bersuara.
Tambah beliau, lebih mengecewakan Parlimen yang sepatutnya membincangkan hal rakyat ditangguhkan semata-mata kerana pemilihan parti PKR, seolah-olah nasib negara boleh diketepikan kerana urusan dalaman parti politik.
“Sidang penting yang sepatutnya membincangkan Rancangan Malaysia Ke-13 tidak berjalan kerana Menteri Ekonomi yang juga calon utama pemilihan PKR mengambil cuti dan meletakkan jawatan sementara.
“Sampai bila rakyat harus diperkotak-katikkan dengan pentadbiran seperti ini?” ujar beliau mengheret isu pemilihan PKR yang telah menimbulkan impak buruk ke atas perjalanan pentadbiran kerajaan.
Katanya Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu, rakyat juga dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes Muhammed Yusoff Rawther yang dibebaskan tanpa perlu membela diri setelah sembilan bulan ditahan atas tuduhan yang tidak berasas.
Tempelaknya, ia adalah lambang kegagalan sistem keadilan negara yang kini turut terpalit dengan campur tangan politik di mana Perdana Menteri pula terpalit dengan saman sivil berkaitan gangguan seksual yang kini sedang berjalan di mahkamah.
Bagi Afnan Hamimi dalam melontarkan suara anak muda itu, perkara lebih memalukan apabila Anwar sendiri memohon imuniti bagi mengelak perbicaraan yang disifatkannya satu tindakan menunjukkan ketakutan dan bukannya keadilan.
“Melihat kepada kesemua kemelut dan kebobrokan ini, Pemuda PAS Malaysia yakin bahawa akar kepada segala permasalahan ini ialah kegagalan kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Oleh itu, kami mengumumkan bahawa Himpunan Bantah URA yang sebelum ini dirancang akan ditukar dan diperluaskan sebagai Impunan Turun Anwar Ibrahim yang akan berlangsung pada 26 Julai 2025,” ujarnya.
Pemuda PAS sehubungan itu menyeru seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang politik, untuk bersama-sama menyertai himpunan ini secara aman sebagai satu isyarat bahawa rakyat tidak rela lagi ditindas dan dipermainkan oleh kerajaan yang gagal.
Tegasnya, ini bukan soal parti, tetapi masa depan negara dan yakin masih ramai tokoh dalam kalangan kerajaan hari ini yang mempunyai kemampuan memimpin negara dengan lebih baik, dengan syarat pemimpin utamanya perlu digantikan segera.
“Kami tidak menyeru kepada perbuatan yang melanggar undang-undang atau menumbangkan kerajaan secara tidak sah. Kami menyeru kepada perubahan melalui tekanan rakyat yang sah dan berperlembagaan.
“Turunkan Anwar Ibrahim, dan kita akan lihat satu lembaran baharu buat negara ini,” ujarnya menyifatkan Anwar adalah simbol kepada krisis kepercayaan rakyat, kelemahan tadbir urus, serta penindasan terhadap suara rakyat. – HARAKAHDAILY 14/6/2025












