
ALOR SETAR: Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) telah meninggalkan jejak yang bermakna dalam landskap ekonomi negeri Kedah, selain merupakan simbol aspirasi pembangunan negeri, demikian kata Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Malah kata Menteri Besar Kedah itu, PKNK juga bukan sekadar anak syarikat kerajaan negeri, sebaliknya membantu pembangunan negeri sama ada pembangunan ladang getah, premis perniagaan dan kawasan industri.
“PKNK telah menjadi contoh anak syarikat kerajaan negeri (GLC) yang lain dari sudut kecemerlangan, berintegriti dalam tadbir urus serta ikhlas dalam berkhidmat.
“Prestasi itu selaras dengan hala tuju baharu bagi menyokong inisiatif strategik negeri ini,” kata beliau pada Majlis Pelancaran Sambutan 60 Tahun PKNK di Wisma PKNK, Alor Setar, semalam.
Berikutan prestasi memberangsangkan ditunjukkan PKNK, beliau mencadangkan perbadanan itu menceburi bidang pembangunan hartanah, industri dan logistik, termasuk pembangunan lapangan terbang kargo, di sekitar Aerotropolis yang sedang diusahakan.
PKNK juga disarankan bertindak proaktif dalam menyediakan tanah, kemudahan sokongan, perumahan dan latihan kepada bakal tenaga kerja
“Sekarang ini, Kedah juga memberi penumpuan kepada pembangunan di kawasan perindustrian seperti di Bukit Kayu Hitam , termasuk juga Taman Sains dan Teknologi Kedah atau Kedah Science and Technology Park (KSTP) dan Projek Delepan (SBZ) yang sedang rancak dijalankan.
“Begitu juga dengan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) fasa lima sebagai taman teknologi tinggi paling berjaya, perlu diperkasakan untuk membuka peluang pelaburan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” tambah beliau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu juga berkata, penilaian terhadap kejayaan PKNK dapat dilihat apabila ia mula mengorak dengan memberikan semula pulangan kepada masyarakat khususnya golongan kurang berkemampuan.
Justeru, beliau mengharapkan, tiada pihak yang akan menjadi ‘spoiler’ untuk kebangkitan 60 tahun lagi PKNK ke hadapan.
Malah beliau yakin, ramai dari kalangan anak-anak Kedah yang bekerja mahupun berniaga serta hidup dalam suasana serba maju adalah hasil daripada projek-projek ytelah diusahakan oleh PKNK.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKNK, Dato’ Wira Isahak Murat dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya. – HARAKAHDAILY 11/6/2025




















