Bertindak segera sebelum lebih ramai terlibat nahas

- Advertisement -

ARAU: Husna Hashim menggesa kerajaan mengambil tindakan segera dan tegas dalam menangani isu keselamatan jalan raya, susulan tragedi yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kelmarin.

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Arau itu berkata, insiden menyayat hati itu bukan sekadar kemalangan biasa, tetapi satu isyarat yang menuntut perhatian serius semua pihak, khususnya kerajaan dan agensi penguat kuasa.

“Kita amat terkesan dengan tragedi ini. Kehilangan belasan anak muda yang sedang menuntut ilmu demi masa depan bangsa dan negara bukan sesuatu yang boleh dianggap ringan.

“Mereka adalah aset negara. Maka, keselamatan mereka di jalan raya perlu diberi perhatian yang serius,” ujar Husna menyifatkan tragedi itu sebagai satu amaran besar yang tidak boleh dipandang remeh.

Katanya, sudah tiba masanya pihak kerajaan menilai semula keperluan terhadap sistem serta infrastruktur jalan raya secara menyeluruh.

“Kerajaan perlu bertindak sebelum lebih banyak kemalangan berlaku. Kita tidak mahu hanya bertindak selepas nyawa melayang,” tegas beliau.

Beliau berkata, kerajaan perlu menyemak semula status jalan-jalan utama yang sering dilalui pelajar dan masyarakat luar bandar.

“Laksanakan audit menyeluruh ke atas laluan berisiko tinggi, tambah pencahayaan dan papan tanda amaran. Selain itu, bina lorong kecemasan dan laluan selamat serta tingkatkan pengawasan melalui kamera keselamatan dan rondaan polis trafik,” katanya.

Sokong cuti fleksibel musim perayaan

Dalam masa yang sama, Husna turut menyokong penuh cadangan Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi, agar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberikan tiga hari cuti fleksibel.

Iaitu sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri serta Aidiladha kepada mahasiswa, dengan pelaksanaan kuliah secara dalam talian sepanjang tempoh itu.

“Cadangan ini sangat munasabah dan tepat pada waktunya. Kita perlu menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar-pelajar kita yang pulang ke kampung semasa musim perayaan.

“Mereka perlu ruang untuk perjalanan yang lebih selamat, tidak tergesa-gesa, dan bebas tekanan,” katanya.

Untuk rekod, kemalangan ngeri melibatkan bas persiaran yang membawa 42 pelajar UPSI dari Terengganu ke Tanjong Malim telah meragut 15 nyawa dan mencederakan 27 yang lain.

Kemalangan berlaku apabila bas dipercayai dipandu laju dan hilang kawalan sebelum melanggar belakang Perodua Alza dan terbalik serta merempuh pembahagi jalan di Gerik, Perak.

“Kita tidak mahu tragedi seperti ini berulang. Anak-anak ini adalah harapan ibu bapa, aset negara. Kita tidak boleh berdiam diri,” tegas Husna.

Beliau turut memohon agar kerajaan menyediakan lebih banyak kempen kesedaran keselamatan jalan raya kepada pelajar institusi pengajian tinggi, khususnya menjelang musim perayaan.

“Keselamatan jalan raya bukan hanya tanggungjawab individu, tetapi tanggungjawab kolektif seluruh negara. Ia perlu disokong dengan dasar, prasarana dan pendidikan yang menyeluruh,” katanya.

Terdahulu, Husna menziarahi dua tokoh Muslimat PAS Arau yang sedang diuji dengan masalah kesihatan, iaitu ibu kepada Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kawasan Arau, Che Basiah Safie dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Arau, Khadijah Mustafa.

“Dalam perjuangan Islam, kita tidak hanya berpolitik, tetapi membina kekuatan melalui ukhuwah. Kita saling mendoakan dan menyantuni antara satu sama lain,” ujar beliau yang turut mendoakan kesembuhan segera buat kedua-dua ahli perjuangan itu.

Husna dalam pada itu menegaskan bahawa rakyat sedang memerhati dan menunggu langkah proaktif kerajaan dalam isu keselamatan jalan raya.

“Setiap nyawa yang terkorban adalah kehilangan besar buat negara. Jangan biar ada lagi tangisan ibu bapa yang kehilangan anak hanya kerana kecuaian kita memperbaiki sistem sedia ada,” ujarnya lagi.

Beliau menyeru agar semua pihak kerajaan, kementerian, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pihak berkuasa jalan raya dan pengendali pengangkutan awam duduk semeja mencari penyelesaian jangka panjang.

“Kita tidak mahu pendekatan bersifat reaktif semata-mata. Sudah tiba masanya kita ada pelan tindakan keselamatan nasional yang benar-benar berfungsi dan mesra pengguna jalan raya, khususnya pelajar,” katanya.

Husna turut mengingatkan bahawa keselamatan bukan sesuatu yang boleh dikompromi, lebih-lebih lagi apabila melibatkan generasi muda.

“Ini bukan soal politik. Ini soal nyawa. Kita semua perlu bersatu hati mendesak tindakan segera demi masa depan anak-anak kita,” ujarnya.
HARAKAHDAILY 11/6/2025

- Advertisement -