
KUALA LUMPUR: Dalam suasana rakyat sedang bergelut dengan tekanan kos sara hidup yang semakin mencengkam, kerajaan dilaporkan telah mewartakan dua perintah baharu berkaitan Cukai Jualan secara senyap-senyap pada 9 Jun lalu, yang bakal berkuat kuasa bermula 1 Julai 2025.
Dua perintah tersebut ialah Cukai Jualan (Rates of Tax) Order 2025 [P.U.(A) 170/2025] dan Pengecualian Cukai (Goods Exempted From Tax) Order 2025 [P.U.(A) 171/2025], menggantikan perintah terdahulu yang diguna pakai sejak 2022.
Namun, perbandingan antara versi terdahulu dan versi terkini menunjukkan satu perubahan drastik dan membebankan rakyat, apabila senarai barangan yang dikenakan cukai melonjak lebih empat kali ganda, manakala senarai barangan yang dikecualikan cukai pula dipotong lebih separuh.
Seorang pengguna media sosial, Anass Soffy Abdul Wahid, mendedahkan butiran mengejutkan ini dalam hantaran Facebook beliau.
Beliau membandingkan secara terperinci kedua-dua dokumen rasmi yang diwartakan, dan mendapati bahawa jumlah muka surat senarai barangan dikenakan cukai telah meningkat daripada 62 muka surat pada tahun 2022 kepada 222 muka surat dalam versi 2025.
Berdasarkan kod 10 digit HS (Harmonised System), bilangan subkategori barangan bercukai melonjak daripada 987 kepada 4,104.
Ini bermakna lebih 3,100 subkategori baharu telah dimasukkan dan kini tertakluk kepada cukai jualan.
Dalam masa yang sama, senarai barangan yang dikecualikan cukai pula mengecil secara drastik — daripada 282 muka surat kepada hanya 103 muka surat, manakala bilangan subkategori yang dikecualikan jatuh dari 5,222 kepada hanya 1,813.
“Ini bukan sekadar perubahan kosmetik. Ia adalah peluasan cukai secara besar-besaran ke atas hampir semua aspek barangan keperluan harian yang sebelum ini tidak pernah dicukai,” jelas Anass dalam catatan beliau.
Beliau turut menempelak kenyataan rasmi Kementerian Kewangan yang menyebut kononnya hanya barangan seperti ikan salmon, tuna dan avocado dikenakan cukai sebagai bersifat mengelirukan rakyat.
Hakikatnya, kata beliau, ribuan barangan lain yang biasa dibeli rakyat marhaen — termasuk buah-buahan tempatan, sayuran, makanan laut, barangan dalam tin, rempah ratus, sos, coklat, minuman, makanan ringan dan makanan segera — turut dimasukkan ke dalam senarai baharu cukai jualan.
“Contohnya, hampir semua buah-buahan kini dikenakan cukai. Bahkan mangga, nenas, belimbing, rambutan dan buah salak pun termasuk. Dulu tak pernah dikenakan cukai,” tulisnya.
Beliau turut menyatakan bahawa perluasan ini membuktikan hasil tambahan RM10 bilion seperti yang diumumkan kerajaan bukan datang semata-mata daripada barangan mewah atau luar negara, tetapi daripada barangan asas rakyat.
“Kalau dulu kita beli satu tin nenas dengan harga RM3, kini mungkin jadi RM3.30 atau RM3.50. Nampak kecil, tapi kalau setiap barangan dapur naik, itu bukan lagi inflasi biasa – itu tekanan sistematik ke atas isi rumah.”
Lebih membimbangkan, katanya, langkah kerajaan ini dilaksanakan tanpa perbincangan awam, tanpa penjelasan dalam Parlimen, dan diumumkan secara teknikal menerusi pewartaan, seolah-olah mahu mengelak perhatian umum.
“Cukai adalah dasar awam. Bila kerajaan perluas skop cukai secara senyap dan harapkan rakyat tak perasan, itu bukan sahaja tidak telus, tetapi sangat tidak beretika,” katanya lagi.
Tindakan ini juga menimbulkan persoalan besar terhadap janji kerajaan untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup.
Ketika rakyat sedang menanti penyelesaian konkrit terhadap harga barang yang melambung, kerajaan pula mengambil jalan mudah dengan mengenakan cukai ke atas barang yang sebelum ini bebas cukai — suatu langkah yang akhirnya akan menyumbang kepada kenaikan harga runcit.
“Ini bukan reformasi fiskal yang progresif, ini adalah regim percukaian regresif yang mengenakan beban kepada golongan bawahan,” tambah Anass.
Pemerhatian dan analisis yang dikongsi beliau kini mula tular di media sosial dan mencetuskan persoalan dalam kalangan pengguna, peniaga dan ahli ekonomi — sejauh mana kerajaan benar-benar jujur dalam melaksanakan reformasi kewangan, dan siapa sebenarnya yang akan menanggung beban RM10 bilion itu? – HARAKAHDAILY 11/6/2025











