
JOHOR BAHRU: Usaha ke arah penyatuan ummah Melayu terus digiatkan apabila ribuan rakyat pelbagai lapisan menghadiri Himpunan Melayu Berdaulat (HMB) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 24 Mei lalu.
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni, berkata himpunan itu menjadi manifestasi kesedaran rakyat terhadap keperluan menyatupadukan ummah tanpa mengira latar belakang kepartian.
“Ia telah mula digerakkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh individu (NGI) berdaftar. Himpunan ini telah mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan telah dihadiri oleh ribuan rakyat Malaysia.
“Usaha ke arah penyatuan ummah Melayu diteruskan dengan mewujudkan ‘payung besar’ bagi menyatukan seluruh orang Melayu.
“Usaha ini perlu disokong oleh semua orang Melayu dan seluruh rakyat Malaysia kerana dengan penyatuan ini, ia akan dapat menjamin kestabilan untuk semua,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Selasa.
Justeru, PAS Johor menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Melayu Islam, agar menzahirkan sokongan dan dukungan kepada usaha penyatuan ummah ini tanpa ada batasan kepartian.
“Ingatlah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Muafakat membawa berkat. Hayatilah semangat ibadah korban, bersedia berkorban kepentingan diri demi ummah,” katanya.
Terdahulu, Himpunan Melayu Berdaulat yang berlangsung dengan aman dan penuh adab telah menghimpunkan lebih 7,000 peserta dari pelbagai latar belakang dan negeri-negeri di kawasan Sogo dan Kompleks Pertama, pada 24 Mei lalu.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali berkata, tujuan utama perhimpunan itu adalah untuk menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan semasa negara yang semakin tidak menentu di bawah pentadbiran Kerajaan Madani sejak tiga tahun lalu.
“Kita lihat kerajaan sekarang ini tidak mampu untuk menangani masalah yang kita lihat menjadi-jadi dari segi perkauman yang kita selama ini hidup aman damai sejak berpuluh-puluh tahun selepas merdeka. Tetapi pada kali ini suasana agak berlainan.
“Kepentingan Melayu semakin terhakis bukan sedikit, kalau kita senaraikan nanti Insya-Allah pada hari tersebut kita akan senaraikan apa yang kita bimbang, apa yang kita telah hilang dan juga apa yang kita akan tuntut nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2025











