Lata Ulu Kekabu, tarikan baharu ekopelancongan

Razali Idris
- Advertisement -

SETIU: Kerajaan Terengganu bercadang mempromosikan Lata Ulu Kekabu di sini sebagai produk pelancongan berasaskan komuniti (CBT) dengan mengekalkan keaslian alam semula jadi kawasan itu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri, Datuk Razali Idris berkata, kawasan berkenaan yang masih belum tercemar dan terpelihara dengan pokok serta batu asal berpotensi dijadikan destinasi ekopelancongan.

“Tempat ini masih tidak diusik, masih lagi tempat yang mempunyai pokok-pokok yang tidak ditebang dan batu-batu yang masih original,” katanya selepas lawatan kerja ke lokasi tersebut.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk membina tandas berasingan lelaki dan wanita sebagai kemudahan asas kepada pengunjung.

“Saya lihat tiada kemudahan tandas di sini, saya sudah bersetuju untuk meluluskan sebanyak RM20,000 untuk membuat asas tandas yang diasingkan antara lelaki dan wanita,” jelasnya.

Kata beliau, kerajaan negeri juga menekankan aspek kebersihan dan keselamatan termasuk penyediaan tali keselamatan, trek pejalan kaki, dan papan tanda untuk memudahkan pengunjung.

“Tempat ini kita angkat sebagai Community Based Tourism, jawatankuasa yang menguruskan tempat ini akan menguruskan laluan dan penunjuk arah,” tambahnya.

Bagi menjaga keselamatan, beliau menasihati pendaki yang tidak berpengalaman supaya menggunakan khidmat malim gunung berlesen.

“Untuk memasuki kawasan hutan simpan, pengunjung perlu mendapatkan permit daripada Jabatan Perhutanan dengan bayaran RM10 seorang dan menggunakan khidmat malim gunung yang berdaftar.

“Sekarang sudah disediakan kemudahan bayaran secara atas talian dan wajib gunakan khidmat malim gunung untuk masuk ke kawasan hutan simpan,” katanya.

Sementara itu katanya, sebarang pembangunan yang dirancang akan dilaksanakan secara berhati-hati untuk mengekalkan keseimbangan ekologi.

“Saya sudah beritahu kepada YDP Setiu supaya jaga tempat ini, jaga sumber alam semulajadi dan jangan beri peluang kepada sesiapa sahaja untuk tebang pohon-pohon yang ada di sekitar ini,” katanya.

Razali berkata, walaupun aktiviti penebangan pokok besar dilarang, pemotongan semak renek untuk perkhemahan masih dibenarkan di bawah kawalan pihak berkuasa. – HARAKAHDAILY 10/6/2025

- Advertisement -