
KLANG: Penduduk pelbagai kaum di Kampung Raja Uda turut menyuarakan bantahan terhadap pembinaan sebuah memorial empat tingkat kerana tidak sesuai didirikan di kawasan kediaman majoriti Melayu Islam.
Penduduk, RG Veerapan, 65, berkata projek itu tidak dibincangkan secara terbuka dan hanya diketahui oleh penduduk Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang, di sini kira-kira tiga minggu lalu.
“Saya memang tersinggung dan kecewa. Ini kawasan majoriti Melayu. Bila saya tahu mereka nak bina memorial yang simpan abu mayat, saya rasa memang tak sesuai langsung,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di jalan berhampiran Persiaran Raja Muda Musa, Kampung Raja Uda, di sini hari ini.
Veerapan berkata, projek itu boleh mencetuskan ketegangan masa depan, terutama jika golongan muda mula mempersoalkannya.
“Sekarang mungkin orang boleh bertolak ansur, tapi budak-budak ini belum tahu lagi. Nanti boleh jadi kecoh. Kita tak mahu perkara itu berlaku,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penduduk kampung secara keseluruhan, termasuk ahli keluarganya membantah projek itu.
“Semua dalam keluarga saya membantah. Hari ini mereka tak dapat hadir sebab kerja, tapi kalau tidak, ramai yang akan hadir. Ini bukan suara individu. Seluruh masyarakat bantah,” katanya.
Malah, menurut beliau, ada juga penduduk kaum Cina yang juga jirannya, menyatakan rasa tidak setuju terhadap pembinaan memorial itu.
“Jiran saya yang Cina pun ada yang cerita dengan saya. Dia pun terkejut. Dia kata mana boleh buat macam ini. Dia kata nanti ada sembahyang tahunan, ribuan orang datang,” jelasnya.
Memorial yang sedang dibina itu dijangka mempunyai empat tingkat, menimbulkan kerisauan terhadap kesesuaian saiz dan fungsinya dalam kawasan perumahan yang harmoni dan padat.
“Empat tingkat itu besar, bukan kecil. Kalau setiap tahun ada upacara sembahyang, dengan orang datang beribu-ribu, memang akan ganggu ketenteraman kampung,” katanya.
Oleh demikian, beliau telah menyampaikan kebimbangan itu kepada Nazir Masjid Kampung Raja Uda, Ismail Arsat pada beberapa minggu lalu dan menyeru agar penduduk terus bersatu menentang projek tersebut.
“Saya dah cakap dengan Haji Ismail, ini masalah besar. Kita kena bersatu. Kalau kita sepakat, kita boleh suarakan bantahan dengan lebih kuat,” tegasnya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Raja Uda, Azhar Ibrahim, berkata lebih 300 notis bantahan telah dihantar oleh penduduk secara dalam talian kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Azhar berkata, penduduk mahu pembinaan memorial itu dibatalkan demi keselesaan mereka terutamanya yang beragama Islam.
Sementara itu, imam Masjid Kampung Raja Uda, Mohd Bazaireen Baharuddin, berkata pengurusan masjid turut kesal dengan cadangan pembinaan memorial yang jaraknya kurang daripada 50 meter dari kawasan rumah ibadah umat Islam itu.
“Saya bimbang selepas ini kawasan memorial akan mengadakan banyak acara keagamaan selepas ia mula beroperasi, ia akan menyebabkan penduduk beragama Islam di sini berasa tidak selesa.
“Kami harap Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Datuk Bandar MBDK dengar keluhan kami bahawa kami membantah sekeras-kerasnya pembinaan kompleks empat tingkat ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/6/2025











