
KLANG: Penduduk Kampung Raja Uda menyatakan bantahan tegas terhadap cadangan pembinaan sebuah memorial penyimpanan abu mayat yang dirancang dibina kurang 80 meter dari Masjid Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang di sini.
Nazir Masjid Kampung Raja Uda, Ismail Arsat berkata, beliau mewakili ahli kariah dan penduduk setempat yang sepakat menolak sepenuhnya projek itu.
“Saya mewakili penduduk di Lorong Petola, Kampung Raju Uda membantah 100 peratus dan semua penduduk yang tinggal di lorong ini juga membantah pembinaan memorial untuk menyimpan abu mayat di sini.
“Jadi, bukan saja penduduk di sini, tapi semua ahli kariah Kampung Raja Uda membantah, tidak ada seorang pun yang menyokong cadangan pembinaan memorial,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan dua salinan memorandum bantahan kepada Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali di Lorong Petola dan berhampiran jalan Persiaran Raja Muda Musa, Kampung Raja Uda, di sini, hari ini.
Ismail berkata, penduduk yang telah menetap lebih 40 tahun di kawasan itu kini bimbang dengan pelbagai implikasi bakal timbul sekiranya memorial itu diteruskan, termasuk isu sensitiviti agama, kesesakan lalu lintas dan kesan terhadap nilai hartanah.
Oleh demikian, beliau mengemukakan lapan asas bantahan mengapa penduduk Kampung Raja Uda menolak cadangan pembinaan memorial itu.
“Antaranya ialah kedudukan yang terlalu hampir dengan Masjid Kampung Raja Uda, iaitu kurang 80 meter, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk yang majoritinya beragama Islam.
“Sentimen penduduk setempat perlu dihormati kerana lebih 85 peratus daripada mereka adalah masyarakat Melayu Islam yang amat menitikberatkan sensitiviti agama dan budaya,” katanya.
Selain itu katanya, tanah dicadangkan untuk projek berkenaan merupakan zon kediaman dan bukannya kawasan yang diwartakan untuk pembangunan komersial atau perniagaan, menjadikan ia tidak selari dengan pelan guna tanah sedia ada.
“Penduduk juga bimbang dengan potensi kesan terhadap kelancaran lalu lintas serta kekurangan tempat letak kenderaan, yang dijangka bertambah buruk sekiranya memorial itu diteruskan,” katanya.
Menurut Ismail, pembinaan memorial itu juga tidak membawa sebarang nilai tambah kepada komuniti setempat, malah berisiko menjejaskan keharmonian yang telah lama terbina.
“Tambahan pula, dari sudut budaya dan agama, projek seumpama itu dilihat tidak sesuai dibina di kawasan majoriti Muslim kerana menyentuh sensitiviti masyarakat.
“Penduduk turut khuatir terhadap kemungkinan berlakunya penurunan nilai hartanah di kawasan sekitar, selain kebimbangan memorial itu akan mengganggu ketenteraman awam yang selama ini terpelihara,” katanya.
Justeru, beliau berharap agar pihak bertanggungjawab mengambil kira suara penduduk serta membatalkan cadangan pembinaan memorial itu demi menjaga keharmonian dan sensitiviti komuniti setempat.
Dalam pada itu, Ismail turut merakamkan penghargaan kepada Halimah Ali yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, atas kesudian hadir bertemu penduduk dan menerima sendiri dua salinan memorandum bantahan daripada wakil penduduk Kampung Raja Uda.
Katanya, kehadiran Ahli Parlimen Kapar itu menunjukkan keprihatinan terhadap kebimbangan penduduk setempat dan memberi harapan bahawa suara komuniti akan dibawa ke pihak berkuasa yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya. – HARAKAHDAILY 10/6/2025












