Tragedi bas penuntut UPSI: Malaysia kembali ‘berduka’

- Advertisement -

MALAYSIA kembali ‘berduka’, apabila mendapat khabar seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disahkan maut dan tujuh parah apabila bas yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke universiti itu terbabit dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak awal pagi semalam.

Sudah pasti pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) turut merasai ‘denyut’ kesedihan yang menimpa ahli keluarga. Ini kerana, sebagai seorang pengamal KKP yang komited seboleh-bolehnya ingin sangat agar perkara kemalangan katastropik sebegini dapat dicegah.

Mengikut sumber statistik bas komersial menyumbang kepada sekitar 548 kemalangan dari tahun 2019 hingga tahun 2024 dengan 153 kematian. Walaupun kadar jumlah kemalangan sedikit berbanding kenderaan yang lain tetapi impak kecederaan dan kematian ke atas penumpang adalah tinggi.

- Advertisement -

Statistik ini tidak boleh dipandang ringan kerana peningkatan dalam kemalangan yang melibatkan kenderaan komersial semakin membimbangkan dan menjadi salah satu daripada isu utama negara.

Secara umumnya, menurut beberapa kajian, kemalangan bas boleh diketagorikan kepada dua iaitu disebabkan oleh bukan perlanggaran dan pertembungan. Kategori bukan perlanggaran dimaksudkan apabila bas tidak melanggar kenderaan lain atau objek lain dan umumnya berkaitan dengan reka bentuk bas.

Ada kajian di Great Britain menunjukkan penumpang bas yang terbunuh atau cedera parah dalam kejadian bukan pelanggaran adalah sebanyak 64.3 peratus. Manakala di Jerman kejadian bukan pelanggaran yang sama adalah sebanyak 50 peratus.

Dalam pada itu, ada satu kajian oleh Lagwiederet telah menunjukkan bahawa kecederaan kepala adalah yang paling kerap iaitu 27 peratus dan kecederaan pada dada dengan 19.2 peratus. Selain itu, berdasarkan pemeriksaan, ia menunjukkan bahawa 95 peratus daripada penilaian bas ekspres tidak dilengkapi dengan tali pinggang keledar.

Hanya lima peratus daripada bas yang dilengkapi dengan tali pinggang keledar. Kajian oleh G. Belingardi pada tahun 2005 ada menunjukkan bahawa sistem tali pinggang ‘3 point’ boleh mencegah kecederaan kepala di kalangan penumpang dan tali pinggang ‘2 point’ boleh meningkatkan keselamatan penumpang.

Walaupun kejadian terbaru ini, kita belum tahu lagi apakah punca kemalangan terjadi (‘bab’ ini kita serahkan kepada pihak yang berwajib menjalankan siasatan), namun kita sangat berharap agar kemalangan katastropik sebegini dapat dicegah.

Marilah kita, sama-sama berdoa kepada mangsa yang terlibat, semoga Allah ampuni mereka, rahmati mereka, maafkan mereka, muliakan kematian mereka, lapangkan kubur mereka, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggal mereka dan berilah kesabaran kepada ahli keluarga mereka, semoga mereka semua di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Al-Fatihah…

Oleh:

Ts. SHAHRONIZAM NOORDIN
Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan- HARAKAHDAILY 10/6/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -