
JERAI: Pantai Murni yang menjadi kawasan rekreasi dan santai pengunjung bakal berwajah baharu apabila pembangunan dataran mesra pengunjung siap dalam tempoh terdekat.
Walau bagaimanapun, pembangunan tersebut akan melibatkan beberapa gerai milik Majlis Daerah Yan, terpaksa dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembangunan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, sebelum ini keputusan itu mendapat bantahan dari peniaga yang terlibat.
Tetapi katanya, selepas diadakan sesi taklimat dan perbincangan bersama Majlis Daerah Yan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Abdul Ghafar Saad, para peniaga tersebut bersetuju.
“Saya memberi jaminan, peniaga yang terlibat akan disediakan tempat perniagaan baharu oleh Majlis Daerah Yan.
“Namun saya juga berharap tiada sebarang provokasi yang ditimbulkan kerana pembangunan ini untuk orang ramai,” katanya kepada Harakahdaily ketika dihubungi.
Terdahulu, beliau bersama Abdul Ghafar, diiringi wakil dari Majlis Daerah Yan, meninjau perkembangan pembangunan tersebut terutama melibatkan Medan Selera berhadapan pantai.
Jelas Mansor, kawasan berkenaan akan dibangunkan dataran mesra pengunjung serta kiosk makanan segera untuk memudahkan pengunjung berehat menikmati keindahan pantai serta suasana matahari terbenam.
“Kawasan yang akan dibangunkan ini lebih luas, dengan kemudahan parkir dan riadah, termasuk gerai-gerai yang mesra pelanggan.
“Pembangunan ini dijangka akan membawa impak positif kepada perkembangan pelancongan di pantai murni ini, termasuk para peniaga,” tambahnya lagi.
Ujar ADUN Kuala Ketil itu lagi, kiosk-kiosk yang akan disediakan nanti, ditawarkan terlebih dahulu kepada peniaga asal Medan Selera sekira mereka berminat untuk menjalankan perniagaan di situ.
Walau bagaimanapun, tegas Mansor, peniaga kiosk hanya akan diluluskan kepada anak tempatan Daerah Yan sahaja, sementara penduduk luar daerah itu tidak dibenarkan.
“Majlis Daerah Yan juga komited dan memberi jaminan, projek ini akan diteruskan kerana peruntukan telah diluluskan, dan mempastikan ia adalah yang terbaik agar dapat menarik lebih ramai pelancong dan pengunjung,” katanya lagi
Selain itu jelas beliau, di dataran tersebut juga akan diperbanyakkan aktiviti, terutama pada hari cuti dan hujung minggu, termasuk yang dapat menarik perhatian pengunjung kanak-kanak seperti robot-robot atau maskot.
“Saya juga berharap, para peniaga yang akan berniaga di dataran ini nanti dapat memberi jaminan menjalankan perniagaan dengan baik serta memastikan kebersihan, kesihatan, barang jualan yang halal serta mesra pengunjung,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 6/6/2025




















