
TUMPAT: Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob melahirkan kekesalan terhadap kelesuan kepimpinan negara-negara Islam dalam menggunakan kesempatan Hari Arafah sebagai medan suara umat sejagat menentang kezaliman global.
Menurut beliau, Hari Arafah bukan sahaja merupakan hari ibadah utama dalam manasik haji, tetapi sepatutnya menjadi platform tahunan seumpama Kongres Islam Sedunia.
Katanya, ketika ini amat sesuai untuk menyampaikan ucapan bersama daripada pemimpin Islam dunia bagi menyatakan pendirian tegas terhadap musuh Islam dan membela umat yang tertindas.
“Sepatutnya para pemimpin negara Islam berkumpul di Arafah bersama jutaan umat Islam bagi menyatakan pendirian yang jelas tentang isu-isu besar umat seperti Palestin.
“Tapi malangnya ini tidak berlaku,” tegas beliau ketika berucap pada majlis perasmian Penghayatan Hari Wukuf Peringkat Kawasan Tumpat yang diadakan di Sekolah Menengah Ugama Arab Bustanus Saadah, Morak.

Katanya, ketiadaan suara lantang dalam kalangan pemimpin Islam untuk menghapuskan penjajahan Israel, menyekat ekonomi rejim Zionis dan mengambil tindakan bersepadu menyebabkan golongan kufar itu semakin berani.
“Umat Islam di Palestin dizalimi, anak-anak mereka disembelih, dikorbankan setiap hari. Namun kita tidak melihat ada kesatuan sesama kita untuk menghentikan kekejaman ini,” ujarnya lagi.
Hampir 1,000 orang hadir pada program dianjurkan sejak diperkenalkan pada tahun 90-an lagi, dengan memakai pakaian berwarna putih mengambil sempena jemaah haji yang kini sedang berwukuf di Padang Arafah.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah dan ADU Kelaboran, Mohd Adanan Hassan serta Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi. – HARAKAHDAILY 6/6/2025













