Subsidi gas: Hidup rakyat berterusan disiksa kerajaan

Huzaimy (baju batik hijau) menyantuni warga penduduk dalam DUN beliau
- Advertisement -

BACHOK: Kerajaan diminta menghentikan hasrat menaikkan harga gas petroleum cecair (LPG) bagi kegunaan peniaga kerana ia memberi kesan langsung kepada pengusaha kecil dan para penjaja.

- Advertisement -

ADUN Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin berkata, langkah sedemikian akan menambah tekanan terhadap rakyat yang sedia terbeban dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup sebelum ini.

Beliau berkata, rakyat sudahpun menghadapi pelbagai kesukaran akibat kenaikan tarif elektrik dan harga barangan keperluan harian yang semakin mencengkam sekarang.

Kerana itu tambahnya, kerajaan jangan lagi membebankan mereka dengan perkara baru di luar kotak sehingga menyiksa kehidupan rakyat.

“Kenaikan harga gas bukan sahaja menjejaskan peniaga, malah seluruh masyarakat akan menerima kesannya,” katanya ketika menyantuni orang ramai di sebuah kedai makan di Kampung Kemasin, dekat sini semalam.

Menurut beliau, apabila kos gas meningkat, peniaga tiada pilihan selain menaikkan harga makanan atau perkhidmatan mereka, dan akhirnya pelanggan pula yang akan menanggung beban tersebut.

Sambungnya, jumlah pengusaha kedai makan yang terpaksa menutup kedai mungkin akan bertambah sekiranya hasrat itu dilaksanakan kerajaan.

Keadaan tersebut katanya, boleh terjadi berikutan peniaga tidak mampu menampung kos, pada masa sama kekurangan pelanggan yang datang ke kedai mereka.

“Kerajaan perlu lebih prihatin terhadap nasib rakyat, khususnya golongan marhaen yang bergantung kepada perniagaan kecil untuk mencari rezeki,” ujarnya.

Beliau menyeru agar kerajaan mempertimbang semula dasar yang menekan rakyat dan mengambil pendekatan lebih mesra rakyat dalam menangani isu subsidi dan kos bahan api.

Pada masa ini, Kerajaan Malaysia sedang merancang untuk menghapuskan subsidi LPG yang diberikan kepada peniaga.

Keputusan ini dibuat dalam usaha mengurangkan perbelanjaan subsidi kerajaan, namun ia dijangka memberikan kesan buruk terhadap peniaga.

Sekiranya dilaksanakan, ia akan meningkatkan lagi kos operasi peniaga dan memberi impak negatif kepada ekonomi ‘penguna akhir’. – HARAKAHDAILY 6/6/2025

- Advertisement -