
KOTA BHARU: Bakal jemaah haji diingatkan agar memilih syarikat pengendali yang sah dan diiktiraf oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini semasa menunaikan ibadat haji di Tanah Suci pada masa hadapan.
Bekas Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, langkah itu penting bagi memastikan kelancaran perjalanan dan keselamatan para jemaah serta memudahkan urusan mendapatkan visa.
“Untuk tidak menggusarkan kita serta mengelakkan tekanan, bakal haji perlu bersama syarikat yang diperakui oleh Tabung Haji sahaja. Hanya syarikat yang sah akan diberikan visa untuk menunaikan ibadat haji,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis Penghayatan Hari Wukuf Peringkat Kawasan Tumpat yang diadakan di Sekolah Menengah Ugama Arab Bustanus Saadah Morak, dekat sini hari ini.
Menurut beliau, walaupun ada pelbagai pilihan, namun Tabung Haji kekal sebagai agensi utama dan pilihan terbaik yang diperakui oleh kerajaan.
Beliau turut menasihatkan agar bakal haji pada tahun-tahun mendatang mengikuti kursus serta bimbingan yang sah daripada tenaga pengajar dan pakar ibadah haji bagi memastikan ibadat tersebut tidak terbatal.


“Contohnya, ketika tawaf, bahu hendaklah selari dengan Kaabah, ini perkara asas yang ramai terlepas pandang,” jelasnya.
Ustaz Ahmad berkata, ibadat haji memerlukan banyak pergerakan fizikal dan tidak sama seperti menunaikan umrah, justeru persediaan awal amat penting.
“Bakal-bakal haji perlu bersedia dari segi ilmu dan fizikal. Kursus haji sangat membantu untuk mendalami rukun serta sunat ibadah ini,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan ratusan jemaah haji dari beberapa negara termasuk Malaysia ditahan pihak berkuasa Arab Saudi kerana didapati memasuki Makkah dan menunaikan haji tanpa visa yang sah.
Tindakan itu menyebabkan mereka bukan sahaja gagal menunaikan ibadat haji, malah berdepan hukuman termasuk denda dan larangan memasuki negara itu untuk tempoh tertentu. – HARAKAHDAILY 6/6/2025













