Kelantan: Sidang DUN bersandar fakta, ketelusan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sentiasa berlandaskan prinsip ketelusan dan fakta, bukannya sekadar retorik atau permainan politik.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, setiap ucapan dan jawapan dalam sidang dewan direkod secara rasmi dan menjadi dokumen sah kerajaan.

Katanya, sidang DUN bukan medan untuk ‘ya dan tidak’ sebagaimana didakwa sesetengah pihak, sebaliknya segala perbincangan perlu disandarkan kepada fakta dan tanggungjawab rasmi.

“Segala yang disebut dalam sidang DUN direkodkan dalam hansard. Ia bukan boleh disebut sesuka hati kerana kenyataan itu bersifat rasmi dan akan dirujuk semula pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri tidak mengambil ringan sebarang soalan yang dibangkitkan dalam dewan, sebaliknya memberikan jawapan berdasarkan fakta sahih.

“Isunya bukan soal puas hati atau tidak dengan jawapan. Apa yang penting, jawapan kita itu mestilah berasaskan fakta yang tepat dan sah,” ujarnya lagi.

Beliau turut menegaskan DUN Kelantan sentiasa memberi ruang seluas-luasnya kepada semua wakil rakyat, termasuk pembangkang, untuk menyuarakan pandangan mereka.

Kenyataan itu sebagai maklum balas kepada laporan media baru-baru ini yang memetik Ketua Pembangkang DUN Kelantan, Mohd Syahbuddin Hashim mendakwa Sidang DUN hanya menjadi medan mengiakan pandangan kerajaan.

Namun, Mohamed Fadzli menegaskan Sidang DUN merupakan institusi yang mempunyai tatacara tersendiri.

“Tidak wajar dipertikai secara umum tanpa memahami fungsinya yang rasmi dan sah”, tegasnya. – HARAKAHDAILY 4/6/2025

- Advertisement -