
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) meluahkan rasa kecewa terhadap langkah kerajaan yang disifatkannya menekan golongan peniaga kecil berikutan larangan penggunaan tong gas bersubsidi.
Presidennya, Syed Hasan Syed Ali berkata, sejak tiga tahun kebelakangan ini, rakyat semakin terbeban dengan kenaikan kos sara hidup dan kini, peniaga gerai dan warung tidak lagi dibenarkan menggunakan tong gas subsidi kecil seperti sebelum ini.
“Saya rasa sedih kerana mereka mensasarkan peniaga-peniaga warung, gerai dan restoran kecil. Sekarang tidak boleh guna tong gas kecil, kena beli tong gas mahal. Bila kos naik, harga jual pun naik.
“Akhirnya, pelanggan pun makin kurang kerana orang ramai mula bawa bekal dari rumah,” katanya ketika ditanya Harakahdaily dalam sidang media bagi ‘post mortem’ Himpunan Melayu Berdaulat di Menara Centara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini pada Selasa.
Syed Hasan berkata, keputusan ini memberi kesan langsung kepada peniaga kecil yang kebanyakannya bergantung kepada tong gas untuk memasak makanan seperti pisang goreng dan nasi lemak.
Malah, beliau mempersoalkan rasional kerajaan yang menafikan subsidi kepada mereka, sedangkan keperluan sebenar tong gas subsidi kini lebih kepada sektor kecil dan sederhana berbanding kegunaan rumah kini banyak beralih kepada tenaga elektrik.
“Yang perlu murah ialah bahan mentah, bahan masak dan tong gas kerana inilah keperluan bagi peniaga kecil. Tapi bila dasar tidak konsisten, hari ini larang, esok bagi pula tiga tong kecil sahaja, rakyat jadi keliru dan tertekan,” katanya.
Oleh demikian, beliau mengkritik pengurusan ekonomi negara yang disifatkan sebagai lemah dan tidak berpihak kepada rakyat terbanyak.
“Kerajaan tak tahu urus ekonomi. Hutang makin naik, RM1.3 trilion, tapi tekanan diberi kepada golongan bawah. Saya sangat kecewa,” katanya.
Justeru, pihaknya menyeru kerajaan agar menilai semula dasar berkaitan subsidi dan bantuan kepada peniaga kecil bagi memastikan kelangsungan ekonomi rakyat di peringkat akar umbi.
Terdahulu, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden, membidas keputusan Kerajaan Madani yang melarang peniaga kecil menggunakan tong gas petroleum cecair (LPG – gas ungu) bersubsidi dan menyifatkannya sebagai menekan rakyat dan tidak masuk akal.
Afnan berkata, perkara itu bertentangan dengan konsep ‘Keadilan Sosial’ yang dicadangkan oleh kerajaan.
“Kami nampak benda ini sebagai satu bentuk penindasan ekonomi terhadap rakyat marhaen. Orang atas boleh hidup selesa dengan segala kemudahan, tapi rakyat biasa terpaksa bayar lebih untuk guna benda asas yang datang dari negara sendiri. Logik tak?” persoalnya. – HARAKAHDAILY 4/6/2025











