
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa isu proses pengampunan Dato’ Seri Anwar Ibrahim kembali timbul adalah kerana wujudnya pertikaian semasa yang saling berkaitan.
Menurut beliau, ia apabila berlaku percanggahan dari segi pelaksanaan pengampunan Anwar berbanding adendum tahanan rumah Dato’ Sri Mohamad Najib Tun Abdul Razak seperti dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
Begitu juga katanya, tindakan Anwar ingin mendapatkan ‘imuniti’ atau kekebalan dari menghadapi saman sivil oleh bekas pembantunya, Muhammed Yusoff Rawther di atas tuduhan serangan seksual oleh Presiden PKR itu.
Jabatan Peguam Negara (AGC) peringat beliau, harus sedar semua pertikaian tersebut jika tidak ditangani akan menular menjadi penyakit yang terus menghakis kepercayaan orang ramai kepada sistem keadilan negara.
“Penyokong Dato’ Sri Najib mempertikai kenapa titah Yang di-Pertuan Agong tidak di turuti sedangkan apabila Dato’ Seri Anwar mendapat pengampunan penuh yang dianggap luar biasa sebelum itu boleh dilaksanakan.
“Maka pengamal undang-undang tampil lagi mempertikai proses pengampunan (berbeza itu dan) sekali lagi peranan saya di dalam proses pengampunan Datuk Seri Anwar dipertikai.
“Bagi pengkritik Dato’ Seri Anwar, tindakannya untuk mendapatkan imuniti itu bertentangan dengan konsep keadilan Negara di mana tidak ada seorang pun yang mempunyai kekebalan dari menghadapi proses undang-undang apabila dituduh melakukan kesalahan.
“Tindakannya meminta imuniti telah membuat beberapa pihak mengaitkan ‘keistimewaan’ yang dipohon Dato’ Seri Anwar itu sama seperti ‘keistimewaan’ yang diterimanya ketika mendapat pengampunan penuh,” terang Tun Mahathir.
Menurut beliau juga, sejak dari masa pengampunan Anwar diumum dalam bulan Mei 2018, beberapa pengamal undang-undang, ada yang agak rapat dengannya dan juga tidak suka kepadanya, telah mempertikai proses pengampunan tersebut.
“Seingat saya, ada seorang peguam telah memfailkan saman mencabar kesahihan pengampunan Dato’ Seri Anwar selepas sahaja saya meletak jawatan sebagai PM (Perdana Menteri) pada bulan Februari 2020.
“Anwar ketika itu cuba membatalkan saman tersebut tetapi ditolak oleh Mahkamah Tinggi. Namun permohonannya dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan atas alasan plaintif tidak ada ‘locus standi’ (hak).
“Mahkamah Persekutuan kemudiannya turut menolak rayuan plaintif kerana isu itu sudah menjadi akademik dan pengampunan dilakukan mengikut Perlembagaan,” imbau beliau yang dua kali memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.
Imbasnya, walaupun keputusan telah dibuat, apabila timbul isu adendum di dalam titah Yang diPertuan Agong berkait dengan Dato’ Sri Najib dan usahanya mendapatkan kelonggaran tahanan rumah, isu pengampunan Anwar pun timbul kembali.
“Saya ucap terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara kerana telah memberi penjelasan berkait dengan pengampunan Dato’ Seri Anwar. Penjelasan itu melepaskan saya dari tuduhan-tuduhan bahawa saya telah tidak mengikut proses yang betul.
“(Iaitu) di dalam mendapatkan pengampunan untuk Dato’ Seri Anwar sepertimana saya dituduh di dalam beberapa tindakan saya sebelum ini seumpamanya kes Pulau Batu Putih,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 4/6/2025











