
PUTRAJAYA: Satu inisiatif baharu yang dinamakan Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu telah diumumkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini hari ini.
Menurut beliau, usaha tersebut adalah bagi mengatasi perpecahan dan menyatukan masyarakat Melayu di bawah satu gerakan besar tanpa mengira fahaman politik.
Katanya, masalah dalam kalangan orang Melayu dilihat semakin meruncing akibat perbezaan politik, sekali gus melemahkan kuasa politik dan sosial mereka.
“Gerakan atau sekretariat ini tidak bermotifkan politik, tetapi bertujuan menjadi penghubung penting dalam menyelesaikan isu-isu orang Melayu yang gagal ditangani kerajaan hari ini,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang media yang turut disertai para pemimpin Melayu daripada beberapa parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini petang tadi.
Jelas beliau, kewujudan terlalu banyak kumpulan yang kononnya memperjuangkan nasib orang Melayu sebenarnya menyumbang kepada perpecahan, bukannya penyatuan.
“Kalau ramai buat kumpulan masing-masing, ia tidak akan jadi satu. Ia akan jadi tiga, empat kumpulan. Ini hanya akan merugikan orang Melayu. Kita hanya boleh menang jika bersatu dalam satu gerakan,” tegasnya.
Tun Mahathir turut menjelaskan bahawa sekretariat tersebut bersifat terbuka dan merentasi sempadan politik, membolehkan mana-mana individu Melayu termasuk ahli parti politik menyertainya.
“Asalkan mereka menyokong matlamat memperjuangkan kedudukan orang Melayu. Sekarang ini kita tidak mahu tumpu kepada masalah lain, kita hanya fokus kepada perjuangan menyelamatkan orang Melayu,” katanya.
Terdahulu, satu perbincangan awal mengenai penubuhan sekretariat itu telah diadakan bersama beberapa tokoh politik dan pemimpin pertubuhan Melayu.
Antaranya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man serta Timbalan Presiden BERSATU, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin.
Juga Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali serta Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa.
Mengulas lanjut sama ada ahli Umno akan turut terlibat, beliau menyatakan keterbukaan sekretariat tersebut untuk menerima sesiapa sahaja.
“Walaupun dia ahli Umno, kalau bersetuju dengan usaha ini, kita terima,” ujar beliau yang mencipta sejarah menjadi Perdana Menteri Malaysia sebanyak dua kali.
Menjawab lagi pertanyaan mengenai perancangan masa depan sekretariat itu, Tun Mahathir tidak menolak kemungkinan akan berperanan lebih aktif dalam arena politik untuk memastikan masyarakat Melayu kembali berkuasa.
“Kita akan buat persiapan untuk dapatkan kemenangan. Hari ini orang Melayu sudah hilang separuh daripada kuasa mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/6/2025











