
Sejarah adalah ibrah, menyeberangi (ibrah) zaman menyelami kehidupan umat masa lalu untuk mengambil pengajaran (hikmah).
Salah satu bentuk pendidikan dan tarbiah buat umat untuk mencontohi kebaikan orang terdahulu dan tidak mengulangi kesilapan masa lalu demi kehidupan mendatang yang lebih baik.
Firman Allah SWT:
{ لَقَدۡ كَانَ فِی قَصَصِهِمۡ عِبۡرَةࣱ لِّأُو۟لِی ٱلۡأَلۡبَـٰبِۗ مَا كَانَ حَدِیثࣰا یُفۡتَرَىٰ وَلَـٰكِن تَصۡدِیقَ ٱلَّذِی بَیۡنَ یَدَیۡهِ وَتَفۡصِیلَ كُلِّ شَیۡءࣲ وَهُدࣰى وَرَحۡمَةࣰ لِّقَوۡمࣲ یُؤۡمِنُونَ }
[Surah Yusuf: 111]
“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran). Bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.”
Allah SWT telah menetapkan beberapa peristiwa menerusi kehidupan para Nabi sebagai panduan dan contoh kepada hamba-hambaNya agar terus beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.
Di antara peristiwa penting ialah peristiwa Arafah yang berlaku dalam sirah Rasulullah SAW.
{ لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِی رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةࣱ لِّمَن كَانَ یَرۡجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلۡیَوۡمَ ٱلۡـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِیرࣰا }
[Surah al-Ahzab: 21]
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
Betapa pentingnya peristiwa Arafah ini apabila turunnya ayat penyempurnaan agama Islam sebagai addin dan berlaku ketika Rasulullah SAW melaksanakan Haji Wida’ di padang Arafah, Allah menurunkan firman-Nya:
{ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا.. }
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku, dan Aku redhai Islam itu menjadi agama untuk kamu.”
[Surah al-Ma’idah, 5:3]
Ayat ini menjadi saksi bahawa Islam telah sempurna dan lengkap sebagai panduan hidup umat manusia.
Oleh itu, dengan kedatangan hari Arafah ini umat Islam perlu sentiasa meningkatkan keyakinan terhadap pegangan agama yang sempurna dan sudah lengkap ini.
Mereka sepatutnya tidak lagi berpaling dengan pelbagai fahaman luar yang khurafat, sesat dan segala bentuk ideologi yang datang dari pemikiran manusia.
Umat Islam hendaklah menghayati dan memperjuangkan Islam sebagai addin sebagai manhajul hayah yang merangkumi seluruh aspek kehidupan ekonomi, sosial dan politik seterusnya menjadikan Islam sebagai jalan penyelesaian dalam kemelut kehidupan dengan bersumberkan al-Quran dan Sunnah dengan bimbingan ulama yang beramal.
Umat Islam perlu sentiasa bersyukur dan bermujahadah untuk melengkapkan amal ibadah yang syumul bermula dengan memperbaharui syahadah (tajdid Syahadah), memperelok solat (tahsin solat) dan menghayati roh solat yang mencegah dari segala bentuk kemungkaran dan kemaksiatan, beramal dalam memenuhi tuntutan fardhu kifayah dan merangkumi aspek sosial, ekonomi dan politik Islam.
Amalan utama bagi umat Islam yang tidak menunaikan haji pada hari Arafah ialah dengan menjadikan hari ini sebagai titik mula atau kemuncak perjalanan ilmu dah makrifah diri sesuai dengan makna Arafah.
Sememangnya peristiwa Arafah bukan sekadar ibadah zahir, tetapi ruang penghayatan rohani yang sangat tinggi, dan ia boleh menjadi titik permulaan atau kemuncak perjalanan ilmu dan makrifah bermula dengan dari ‘ilm al-yaqin kepada ‘ayn al-yaqin, dan akhirnya sampai tahap amal dengan haqq al-yaqin.
Ini adalah tiga darjat keyakinan yang disebut dalam al-Quran dan dikupas dalam tafsir para sufi dan ulama hakikat.
● Beramal dengan ilmu Yaqin (Ilmu Keyakinan)
Yakin berdasarkan ilmu, dalil dan hujah (seperti orang tahu api itu panas kerana diberitahu dan faham secara teori).
● Beramal dengan ‘Ainul Yaqin (Penglihatan Keyakinan)
Yakin kerana menyaksikan dengan mata hati atau pengalaman sendiri (seperti melihat api itu dengan mata sendiri).
● Beramal dengan Haqqul Yaqin (Kebenaran Mutlak)
Yakin kerana merasainya secara langsung, seluruh diri menyatu dalam hakikat itu (seperti disentuh dan terbakar oleh api itu sendiri).
● Penghayatan Arafah dan Darjat Yaqin
1. ‘Ilm al-Yaqin – dengan ilmu dan muhasabah:
Ketika seseorang hadir ke Arafah, dia datang dengan ilmu dan kesedaran:
* Mengetahui kelebihan hari Arafah
* Mengetahui bahawa Allah menjanjikan pengampunan dan pembebasan dari neraka
* Mengetahui ia adalah perhimpunan akhirat dan mini Padang Mahsyar
Ini semua adalah peringkat ilmu – asas kepada penghayatan.
{ فَإِن كُنتَ فِی شَكࣲّ مِّمَّاۤ أَنزَلۡنَاۤ إِلَیۡكَ فَسۡـَٔلِ ٱلَّذِینَ یَقۡرَءُونَ ٱلۡكِتَـٰبَ مِن قَبۡلِكَۚ لَقَدۡ جَاۤءَكَ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡمُمۡتَرِینَ }
[Surah Yunus: 94]
“Oleh sebab itu, sekiranya engkau (wahai Muhammad) merasa ragu-ragu tentang apa yang Kami turukan kepadamu, maka bertanyalah kepada orang-orang yang membaca kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu (kerana mereka mengetahui kebenarannya). Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan yang ragu-ragu.”
2. ‘Ayn al-Yaqin – dengan kehadiran hati dan syuhud:
Apabila seseorang benar-benar hadir hati di Arafah—berdiri dengan tunduk, bermunajat, menangis, menyaksikan jutaan manusia dengan pakaian putih seperti di Mahsyar, maka ia mula menyaksikan (musyahadah) hakikat kebergantungan mutlak kepada Allah.
* Dia melihat dosa-dosanya seperti gunung
* Dia melihat kebesaran Allah dalam ciptaan dan manusia yang berbondong-bondong
* Dia melihat betapa kerdil dirinya dan betapa kasihnya Allah yang menerima taubat dan permohonan. Di sinilah darjat Ayn al-Yaqin mula dicapai, yakni hati menyaksikan hakikat yang selama ini hanya diketahui dengan akal.
3. Haqq al-Yaqin – dengan fana’ dan penyatuan maknawi:
Apabila seseorang berterusan dalam munajat, menangis, tenggelam dalam kehadiran Allah (hudur), redha, sabar, syukur dan khusyuk, maka akan datang saat dia tidak lagi memikirkan dirinya, doanya, malah dia hanya merasa Allah semata-mata.
Ketika ini dia sampai kepada Haqq al-Yaqin – hakikat tertinggi di mana hati menjadi tenang sepenuhnya dalam ketaatan dan pengabdian, merasa Allah hadir dalam segenap ruang wujudnya (muraqabah) sehingga tiada lagi wujud kepentingan diri demi menegakkan kebenaran yang hakiki.
Inilah maqam ahlul ikhlas, maqam para arifin dan hamba Allah yang benar-benar dekat.
● Contoh dalam sejarah
* Saidina Umar RA ketika berdiri di Arafah berkata: “Ya Allah, aku datang kepada-Mu dengan banyak dosa. Jika Engkau tidak ampunkan aku pada hari ini, bilakah lagi?”
Ini bukan hanya ilmu, tetapi penyaksian dan penghayatan yang mendalam—yang membawanya kepada haqqul yaqin bahawa rahmat Allah itu lebih besar dari dosa.
* Saidina Ali RA pernah berkata: “Jika hijab antara aku dan Tuhanku disingkap, tidak bertambah keyakinanku sedikit pun.”
Ini darjat haqqul yaqin – dia sudah hidup dalam keyakinan tertinggi yang tidak bergantung kepada fizikal atau luarannya.
● Cara mencapai Yaqin di hari Arafah
1. Bawa ilmu (‘ilm al-yaqin): ketahui kelebihan, sirah Arafah dan isi sebenar wukuf
2. Bersedia dengan hati yang jujur dan terbuka
3. Jangan sibukkan diri dengan perkara luar (gajet, swafoto, sembang) dan perkara lagha atau amal batil semasa berhati raya seperti hiburan dan pergaulan bebas
4. Gunakan masa dengan doa, istighfar, zikir dan tangisan. Banyak bersedekah dan amar maruf nahi mungkar
5. Fokus kepada Allah, bukan kepada permintaan sahaja dengan tilawah, tadabbur, tafakkur dan tazkiah
6. Tundukkan ego, rasa hebat dan suka membanding, buka hijab duniawi agar nampak hakikat kehidupan akhirat
● Kesimpulan
Hari Arafah adalah padang latihan hati, seperti padang Mahsyar. Jika seseorang benar-benar menghayatinya, dia tidak hanya pulang dengan pengampunan, tetapi juga dengan darjat keyakinan yang lebih tinggi, yang menjadi cahaya sepanjang hidupnya.
{ یَـٰۤأَیَّتُهَا ٱلنَّفۡسُ ٱلۡمُطۡمَىِٕنَّةُ (27) ٱرۡجِعِیۤ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِیَةࣰ مَّرۡضِیَّةࣰ (28) }
Maksudnya: “Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan reda dan diredai…”
[Surah al-Fajr: 27–28]
Iktibar paling besar dalam suasana dunia yang sangat mencabar dari sudut perpaduan ummah ialah tekad menjadi ummatan wahidah ummatan wasatan dan khaira ummah.
Ummah Wahidah
– umat yang bersatu dengan tali Allah SWT bagi menghadapi pelbagai bentuk tipu daya makar musuh dan serangan pemikiran dan penjajahan pasca milenium yang bersifat dajal (teknologi kecerdasan buatan (AI)). Senjata yang semakin halus yang mengelirukan dan memecah belahkan ummah.
Ummatan Wasatan
– umat pertengahan, tidak melampau dan tidak juga tiada pendirian, umat yang memenuhi fitrahnya yang seimbang untuk keperluan duniawi dan ukhrawi.
Khaira Ummah
– umat yang peka dengan persekitran, mewujudkan biah solehah, menghidupkan dakwah amar makruf nahi mungkar.
– Muhasabah kolektif oleh setiap kumpulan Islam (jemaah Islam) yang mengaku memperjuangkan Islam dan kebenaran untuk sedia berkorban mengurus perbezaan dan mencari titik pertemuan demi kesatuan ummah.
– Menginsafi hadirnya rahmat Allah SWT dan keampunanNya tidak akan datang tanpa kesatuan hati umat Islam dan jika tidak hidup berkasih sayang sesama mereka, berlapang dada dan sedia mengorbankan kepentingan masing-masing agar dapat menghadapi musuh yang sentiasa mencari jalan menghancurkan umat dan Islam.
{ فَأَمَّا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَٱعۡتَصَمُوا۟ بِهِۦ فَسَیُدۡخِلُهُمۡ فِی رَحۡمَةࣲ مِّنۡهُ وَفَضۡلࣲ وَیَهۡدِیهِمۡ إِلَیۡهِ صِرَ ٰطࣰا مُّسۡتَقِیمࣰا }
[Surah an-Nisa: 175]
“Oleh itu, orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada (ajaran al-Quran) ini, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat-Nya (yang khas iaitu Syurga) dan limpah kurniaNya (yang tidak terkira), dan Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus (jalan ugama Islam), yang membawa kepada-Nya.”
{ وَلَوۡ شَاۤءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ ٱلنَّاسَ أُمَّةࣰ وَ ٰحِدَةࣰۖ وَلَا یَزَالُونَ مُخۡتَلِفِینَ (118) إِلَّا مَن رَّحِمَ رَبُّكَۚ وَلِذَ ٰلِكَ خَلَقَهُمۡۗ وَتَمَّتۡ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمۡلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ أَجۡمَعِینَ (119) }
[Surah Hud: 118-119]
“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.”
“Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam ugama Allah); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: “Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahanam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)”.”
PENUTUP
Pastinya setiap para alumni haji sentiasa mengharapkan ibadah haji yang ditunaikan diterima Allah SWT dan mencapai tahap haji mabrur.
Dipilih sebagai tetamu-Nya adalah rezeki bukan untuk setiap orang, dapat beribadah sepanjang berada di tanah suci dan dapat kembali dengan penuh kebahagiaan untuk meneruskan lagi kehidupan.
Sedangkan ibadah haji ini adalah rukun kelima yang melengkapkan rukun Islam sebagai syarat asas kesempurnaan Islam seseorang.
Namun, dalam beribadah apatah lagi ibadah haji yang terangkum di dalamnya pelbagai bentuk amal ibadah mestilah ada rasa raja’ (harap) dan khauf (bimbang) sebagai penghayatan tauhid dalam beramal ibadah kepada Allah SWT.
Walaupun sudah kembali menunaikan haji, perlu ada rasa bimbang dan takut jika haji yang dikerjakan haji yang mardud atau maqbul sahja atau mabrur.
Justeru, selagi hayat dikandung badan, setelah kembali menunaikan haji, doa memohon haji mabrur adalah antara doa yang sepatutnya tidak ditinggalkan dalam doa setiap para alumni haji.
Ini juga sebagai satu peringatan agar para alumni haji akan terus mengekalkan momentum keyakinan, keimanan, amal ibadah, mujahadah, pengorbanan, jihad sebagaimana yang telah dilakukan semasa menunaikan haji.
Doa yang paling popular yang dibaca ketika tawaf di rukun yamani perlu dihayati dalam memohon haji mabrur buat alumni haji.
{ وَمِنۡهُم مَّن یَقُولُ رَبَّنَاۤ ءَاتِنَا فِی ٱلدُّنۡیَا حَسَنَةࣰ وَفِی ٱلۡـَٔاخِرَةِ حَسَنَةࣰ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ }
[Surah al-Baqarah: 201]
“Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.”
USTAZAH DR WAHIBAH MOHD TAHIR
Ahli Majlis Syura Ulama
Pengarah Jabatan Akademi Pengajian Saidina Aishah (APSA) – HARAKAHDAILY 5/6/2025











