
TANGGA BATU: Kerajaan Madani melaksanakan Ops Gas Memasak (Ops GASAK) yang memfokuskan kepada aspek ketirisan subsidi gas petroleum cecair (LPG) menimbulkan kegusaran dalam kalangan peniaga kecil dan mikro.
Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, walaupun kerajaan menyatakan peniaga kecil dan mikro yang menggunakan tiga atau kurang tong gas masih boleh menikmati gas bersubsidi, namun ia dilihat tidak praktikal.
“Ramai dalam kalangan peniaga kecil dan mikro seperti gerai dan warung makan hakikatnya menjadi perkara biasa untuk mereka menggunakan sehingga empat atau lima tong gas dalam satu-satu masa,” ujarnya dalam kenyataan semalam.
Bakri berkata, peraturan itu didakwa hasil daripada Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang diluluskan sejak 15 Oktober 2021 ketika pemerintahan PN-BN, namun tidak pernah dikuatkuasakan sebelum ini kerana situasi semasa tidak sesuai.
Katanya, peraturan itu tidak dikuatkuasakan pada zaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebaliknya dikuatkuasakan secara mendadak oleh Kerajaan Madani tanpa mengambil kira situasi semasa.
“Undang-undang itu dipinda pada waktu bersesuaian dengan situasi negara berhadapan dengan bencana COVID-19 yang menyebabkan kerajaan terpaksa berbelanja lebih dan pendapatan sangat berkurangan akibat penutupan ekonomi,” jelasnya.
Beliau berkata, walaupun peraturan itu dibuat untuk kepentingan negara dalam jangka panjang, pelaksanaannya perlu dilakukan secara bertimbang rasa serta mengambil kira kesan keseluruhan.
Katanya lagi, tindakan penguatkuasaan perlu dibuat secara beransur-ansur dan bukan secara mengejut seperti yang dilakukan Kerajaan Madani ketika ini kerana boleh menyebabkan kemungkinan berlakunya krisis kenaikan harga makanan yang ketara.
Bakri mencadangkan supaya kerajaan mengkategorikan peniaga berdasarkan jualan tahunan kerana ia lebih tepat untuk mengukur saiz perniagaan dan bukan hanya bergantung kepada jumlah tong gas yang digunakan.
“Sebenarnya syarikat-syarikat perniagaan makanan yang besar dan berjenama kebanyakannya memang telah menggunakan gas LPG komersial dan ia akan dapat mengelakkan kesan kenaikan harga barangan yang dikeluarkan dan mereka boleh dikatakan kurang terkesan.
“Kerajaan boleh menggunakan kaedah subsidi berperingkat dengan kadar yang berbeza-beza mengikut saiz perniagaan dan tidak sekadar menggunakan kaedah pukul rata hanya berdasarkan jumlah penggunaan melebihi tiga tong gas yang ada sekarang,” ulasnya.
Beliau berkata, kerajaan boleh mewujudkan tiga atau empat peringkat kategori perniagaan berdasarkan jualan tahunan serta memberikan kadar subsidi berbeza berbanding hanya dua kategori sedia ada iaitu komersial dan peniaga kecil berdasarkan jumlah penggunaan tong gas dalam satu-satu masa.
“Dengan cara itu kerajaan masih boleh mengurangkan kadar perbelanjaan subsidi LPG dalam masa yang sama tidak membebankan peniaga-peniaga kecil dan mikro,” jelasnya.
Beliau berkata, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 hanyalah satu mekanisme untuk mengelakkan berlakunya ketirisan dalam subsidi dan tindakan memindahkan gas bersubsidi ke tong komersial secara haram serta tidak perlu meletakkan kesalahan itu kepada Kerajaan PN-BN dahulu.
Katanya, kerajaan yang memerintah pada waktu ini masih mempunyai budi bicara untuk memberikan kadar subsidi tertentu mengikut kategori perniagaan sehingga satu masa yang sesuai ditarik secara beransur-ansur dengan mengambil kira kemampuan peniaga kecil dan mikro serta kesan terhadap kenaikan harga barang dan inflasi.
“Saya berharap agar Kerajaan Madani dapat mengambil kira cadangan ini sekiranya benar mereka mempunyai iltizam untuk membela rakyat bawahan yang semakin terhimpit dengan kenaikan harga barang pada masa kini,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/6/2025











