Beri pembelaan adil mangsa letupan Putra Heights

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Khidmat Malaysia menzahirkan rasa dukacita dan solidariti sepenuhnya terhadap semua mangsa tragedi letupan gas di Putra Heights yang berlaku pada 1 April lalu, kata Pengerusinya, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary.

Menurutnya, segala kedukaan dan trauma yang dilalui para mangsa ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika tragedi berlaku, sedar tak sedar sudah berlarutan sehingga ke Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut umat Islam pada 7 Jun ini.

“Kegembiraan yang diragut beberapa bulan yang lalu seharusnya bertukar menjadi sinar kebahagiaan di ambang menyambut hari kebesaran umat Islam ini.

“Namun begitu, ia tidak berlaku memandangkan belum ada sebarang bentuk pembelaan yang tuntas atas apa yang dihadapi oleh para mangsa,” ujarnya dalam kenyataan semalam.

Sebagai imbauan, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata letupan paip utama gas milik PETRONAS Gas Berhad (PGB) kira-kira jam 8:10 pagi menyebabkan kemusnahan luar biasa sehingga lebih 80 rumah ranap, ratusan lagi rosak teruk dan lebih 500 penduduk kehilangan tempat tinggal.

“Trauma, ketakutan dan ketidaktentuan masa depan kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian mangsa. Apa yang lebih mendukacitakan, janji-janji untuk mendedahkan laporan penuh tragedi belum pernah terlaksana.

“Termasuklah kenyataan terkini Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari yang memaklumkan bahawa laporan penuh siasatan teknikal dijangka siap pada 26 Jun 2025. Namun, penantian itu sudah terlalu lama bagi mereka yang sedang tinggal di rumah sementara atau bergantung kepada ihsan saudara-mara. PETRONAS pula mengesahkan paip yang terjejas telah diasingkan, namun tiada pengumuman mengenai tanggungjawab atau pampasan setakat ini,” jelasnya.

- Advertisement -

“PETRONAS pula mengesahkan paip yang terjejas telah diasingkan, namun tiada pengumuman mengenai tanggungjawab atau pampasan setakat ini,” jelasnya.

Khidmat Malaysia katanya, turut mengemukakan lima tuntutan dan desakan utama, termasuk pendedahan segera laporan siasatan penuh.

“Kami mendesak agar laporan siasatan penuh didedahkan serta-merta. Rakyat berhak tahu punca tragedi dan pihak yang harus bertanggungjawab. Kelewatan ini hanya menambah luka mangsa dan mencetus krisis keyakinan terhadap institusi keselamatan awam,” desaknya.

Marzuk berkata, pihaknya juga menuntut pampasan komprehensif yang merangkumi ganti rugi penuh kerosakan rumah dan harta, pampasan kehilangan pendapatan serta bantuan perubatan dan pemulihan trauma.

“Biarpun banyak bantuan telah disalurkan sama ada dari pihak kerajaan mahupun pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan persendirian, bantuan sekali beri tidak cukup untuk memulihkan kehidupan mangsa yang telah musnah secara menyeluruh.

“Mereka mestilah diberi pampasan untuk sekurang-kurangnya dapat memulihkan keadaan asal mereka sebelum berlakunya tragedi,” terangnya.

Beliau turut menekankan keperluan penguatkuasaan sepenuhnya Akta Bekalan Gas 1993 [Akta 501] oleh Suruhanjaya Tenaga bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuai.

“Ini termasuk Seksyen 30: Beroperasi tanpa lesen sah, Seksyen 32: Kecuaian menyebabkan kemalangan, dan Seksyen 35: Kuasa menggantung atau membatalkan lesen. Kesalahan ini membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara hingga lima tahun.

“Undang-undang tidak boleh hanya wujud di atas kertas. Ia mesti dikuatkuasakan sebaiknya demi kepentingan rakyat,” gesanya yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Menurutnya, Khidmat Malaysia turut menggesa pelaksanaan pelan pemulihan komprehensif yang merangkumi pembinaan semula kediaman sebagaimana asal.

Ia katanya, termasuk pemulihan infrastruktur asas, kaunseling dan sokongan mental serta program latihan membina semula perniagaan bagi penduduk yang menjalankan perniagaan di kawasan terjejas.

“Kami menuntut agar komuniti di kedua-dua tempat di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru diberikan layanan adil dan manusiawi.

“Antaranya adalah penempatan semula segera dan teratur sekiranya laporan tragedi menyatakan tempat tinggal mereka sudah tidak selamat didiami, wakil penduduk terlibat dalam perbincangan dasar.

“(Juga) bantuan khas luar jangka dari kerajaan persekutuan dan negeri, serta tidak menyekat kebebasan bersuara para mangsa untuk menyatakan pendirian dan kekesalan mereka atas usaha pemulihan yang lambat dan tidak konsisten,” tambahnya.

Akhir sekali, beliau berkata semua mangsa yang terlibat mesti diberikan keadilan dengan sewajarnya kerana mereka adalah warga yang telah lama menyumbang kepada masyarakat.

“Kami menyeru agar kerajaan, agensi berkaitan dan syarikat utiliti bertindak dengan berani dan berhati nurani. Tindakan segera adalah satu-satunya bahasa keadilan dalam situasi ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/6/2025

- Advertisement -