Pemuda PAS Pasir Mas serah memo bantah URA

- Advertisement -

PASIR MAS: Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM) telah menyerahkan memorandum bantahan terhadap Akta Pembaharuan Semula Bandar atau Urban Renewal Act (URA) kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, semalam.

- Advertisement -

Penyerahan memorandum ini merupakan sebahagian daripada usaha bersepadu Dewan Pemuda PAS Malaysia di seluruh negara, termasuk di negeri Kelantan, yang telah mula menghantar memorandum kepada ahli-ahli parlimen masing-masing sebagai tanda penolakan terhadap URA yang dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Ketua DPPKPM, Dr Ahmad Syakir Dato’ Nasuruddin berkata, pihaknya akan terus menggerakkan usaha untuk memberikan kefahaman kepada rakyat, khususnya di kawasan Pasir Mas, mengenai ancaman URA terhadap kedudukan penduduk asal bandar.

“Akta ini akan membuka ruang kepada pengusiran penduduk asal, khususnya orang-orang Melayu, atas nama pembangunan semula bandar. Pemuda PAS Pasir Mas melihat ini sebagai satu bentuk penghakisan hak ke atas tanah warisan dan penindasan secara sistemik terhadap warga asal,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa usaha ini akan diteruskan sehingga semua ahli-ahli parlimen menerima memorandum bantahan daripada DPP kawasan masing-masing sebagai manifestasi solidariti pemuda Islam dalam mempertahankan hak rakyat.

Turut hadir dalam penyerahan memorandum tersebut ialah sebahagian besar ahli jawatankuasa DPPKPM yang memberikan sokongan penuh terhadap misi ini.

Memorandum berkenaan telah diterima oleh YB Ahmad Fadhli Shaari di pejabatnya. Beliau menyatakan komitmen penuh seluruh Ahli Parlimen PAS dan Perikatan Nasional untuk menolak URA, sama ada di dalam Parlimen mahupun di medan rakyat.

“Saya menerima memorandum ini sebagai satu amanah dan isyarat jelas dari suara anak muda yang prihatin terhadap masa depan bangsa dan negara. Insya-Allah, kami di Parlimen tidak akan berdiam diri dalam hal sebesar ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/6/2025

- Advertisement -