
PADANG BESAR: Inisiatif pembangunan ekonomi rentas sempadan yang digerakkan melalui gagasan Perlis4BorderTrade terus mencuri perhatian pelbagai pihak termasuk delegasi penyelidik daripada selatan Thailand.
Mereka yang datang daripada empat institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikanmenyertai Lawatan Sambil Belajar Sosioekonomi Sempadan ke Perlis bermula 23 hingga 26 Mei lalu.
Delegasi seramai 10 orang itu terdiri daripada penyelidik Universiti Fatoni, Universiti Prince of Songkla, Universiti Rajabhat serta Pusat Penelitian Thailand, diketuai oleh Dr Narong Hassanee dari Universiti Fatoni.
Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi berkata, lawatan tersebut adalah manifestasi kepada kesungguhan Perlis untuk menjadi peneraju kerjasama sosioekonomi sempadan yang lebih progresif dan tersusun.
“Gagasan Perlis4BorderTrade bukan sekadar slogan, tetapi satu perancangan strategik untuk menjadikan Perlis sebagai hab kepada pertumbuhan ekonomi sempadan yang berdaya tahan.
“Juga berteraskan kolaborasi, inovasi dan pembangunan rakyat,” ujar Rushdan kepada Harakahdaily, hari ini yang terlibat dalam pengisian penting sepanjang lawatan itu.

Antaranya sesi lawatan dan taklimat oleh Mohd Amin Zainal Abidin mewakili Beseri Agrofarm Resources, berkenaan penanaman cendawan, khususnya Cendawan Tiram Kelabu dan Cendawan Sisir.
Permintaan tinggi daripada restoran tom yam dan gerai cendawan goreng di sekitar Perlis dan Selatan Thai menjadikan tanaman ini berpotensi besar untuk dikembangkan.
Lebih menarik, usaha digerakkan itu turut membantu golongan asnaf dan komuniti B40 untuk membina pendapatan sendiri melalui projek-projek cendawan yang dibimbing secara berstruktur.
Mohd Amin dan isteri beliau, yang memiliki minat mendalam dalam kajian berkaitan kulat boleh dimakan ini, turut memiliki makmal penyelidikan sendiri di premis mereka.
Delegasi juga diberi pendedahan terhadap industri pembuatan makanan berasaskan pracampuran apabila mengunjungi kilang MFI World Sdn Bhd (Madina Food Industries) di Beseri.
Syarikat milik penuh rakyat Malaysia itu menghasilkan pelbagai produk seperti minuman pracampuran, susu formula, ais campuran dan serbuk susu kocak berjenama Madina, dan telah beroperasi sejak tahun 2012.
Lawatan turut disusun ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian dan Wang Pranchan, bertujuan untuk meninjau aktiviti ekonomi rentas sempadan dan memahami cabaran serta potensi yang ada.

Keseluruhan urusan tersebut dipermudahkan dengan kerjasama pihak imigresen, khususnya Ketua Imigresen Wang Kelian, Zaafar Khan Rahadar dan seluruh anggota yang terlibat.
Delegasi juga berpeluang menikmati suasana pagi di View Point Wang Kelian, disambut dengan jamuan sarapan yang mesra hasil bantuan Abdul Halim Abdul Karim.
Antara slot paling mencuit hati pula ialah persembahan budaya tradisional Gendang Silat Warisan Kampung Oran, yang berjaya mempamerkan keunikan seni warisan negeri Perlis kepada pelawat antarabangsa.
“Mereka datang bukan hanya mahu belajar tentang peluang ekonomi, tetapi juga tertarik dengan tradisi dan warisan budaya di Perlis,” tambah Rushdan.
Katanya lagi, elemen budaya dan pertanian tempatan adalah pelengkap kepada strategi Perlis4BorderTrade, yang menekankan pembangunan ekonomi bersepadu dengan sosial dan warisan tempatan, serta menjadikan komuniti sempadan sebagai ejen utama perubahan.
“Kita tidak mahu masyarakat sempadan hanya dilihat sebagai kawasan pinggiran atau pasaran pengguna sahaja. Kita mahu jadikan mereka rakan dagang, pengeluar, dan pemangkin kepada kerjasama serantau, terutamanya dalam konteks Malaysia-Thailand,” jelas beliau.
Tambah Rushdan, kerjasama yang terbentuk melalui lawatan ini membuka ruang kepada projek penyelidikan bersama, pemindahan teknologi serta jaringan pasaran baru, khususnya dalam sektor makanan, pertanian moden dan pelancongan berasaskan komuniti.
Program empat hari ini dilihat sebagai batu loncatan kepada hubungan lebih erat antara Perlis dan institusi di Selatan Thailand, serta langkah permulaan kepada pelaksanaan program rintis Perlis4BorderTrade yang akan dilancarkan secara lebih meluas tahun ini.
Rushdan berkata, setiap agensi berkaitan di negeri ini, sama ada dari sektor kerajaan, swasta mahupun NGO, harus mengambil peluang daripada kehadiran penyelidik luar ini untuk membina jaringan antarabangsa serta menarik pelaburan kecil dan sederhana yang mampan.
“Kita tak boleh tunggu Pusat (Kerajaan Persekutuan). Kita harus proaktif. Sempadan ini bukan penghalang, tapi peluang. Kalau kita serius, Perlis boleh jadi model kepada seluruh Malaysia dalam pembangunan ekonomi sempadan,” katanya lagi.
Lawatan ini menurutnya, adalah manifestasi awal kebangkitan ekonomi sempadan ala Perlis, yang bukan hanya menekankan nilai keuntungan, tetapi juga keberdayaan komuniti, kelestarian alam sekitar dan pewarisan budaya. – HARAKAHDAILY 28/5/2025




















