Kronisme dibungkus dalam istilah ‘profesionalisme’

Kronisme dibungkus dalam istilah 'profesionalisme'Reformasi hipokrit Anwar amal kronisme, nepotisme terbuka

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Dewan Pemuda PAS Kawasan Johor Bahru mengecam tindakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan telah mengkhianati prinsip reformasi dengan mengamalkan kronisme dan lantikan politik dalam pentadbirannya.

- Advertisement -

Mereka memetik kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Mac 2023 yang memaklumkan bahawa Perdana Menteri tidak berhasrat untuk melantik ahli politik ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), khususnya yang tersenarai di Bursa Malaysia.

“Kenyataan itu seakan memberi harapan bahawa kerajaan di bawah Anwar akan mengamalkan tadbir urus berasaskan integriti dan bebas daripada pengaruh politik. Namun, hanya setahun selepas itu, prinsip ini kelihatan berubah.

“Anwar Ibrahim mula mempertahankan pelantikan ahli politik ke dalam GLC dan agensi kerajaan dengan alasan bahawa individu yang dilantik adalah profesional dan memiliki kelayakan.

“Beliau menyatakan bahawa adalah tidak adil untuk mendiskriminasi seseorang hanya kerana latar belakang politik mereka. Perkara ini dilihat sebagai satu bentuk rasionalisasi yang mengendurkan garis pemisah antara meritokrasi dan kepentingan politik.

“Ini suatu bentuk kronisme yang dibungkus dalam istilah ‘profesionalisme’,” katanya Dewan Pemuda PAS Kawasan Johor Bahru menerusi satu kenyataan.

Tambah mereka, situasi menjadi lebih jelas apabila Anwar baru-baru ini menyatakan secara terbuka bahawa lantikan politik adalah ganjaran kepada mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan parti.

“Tindakan ini memaparkan hipokrasi terbesar Anwar kerana kronisme dan nepotisme yang dahulunya dikritik hebat olehnya, namun kini diamalkan secara terbuka. Suatu pengkhianatan terhadap laungan reformasi yang dijanjikan.

“Rakyat berhak berasa tertipu. Jika ini yang dinamakan reformasi, maka jelas ia telah dikhianati oleh mereka yang pernah mendokongnya. Sebuah lagi bukti bahawa PH naik menjadi kerajaan dengan menaburkan janji dan formula yang akhirnya tidak ditepati,” katanya.

Anwar ketika berucap di Kongres Nasional PKR pada 24 Mei lalu mendakwa lantikan politik adalah satu bentuk balasan yang selayaknya diterima individu tertentu atas jasa dan sumbangan mereka kepada kejayaan parti hingga menjadi kerajaan.

“Ini kerana terdapat ramai individu tidak bernama yang kehilangan kerja dan kehabisan wang ringgit secara sukarela demi menyokong perjuangan parti untuk menjadi kerajaan memerintah.

“Kita seharusnya beri jawatan kepada individu yang layak, sebagai balasan kepada jasa dan sumbangan berpuluh tahun yang mereka berikan dalam perjuangan parti,” dakwanya. – HARAKAHDAILY 28/5/2025

- Advertisement -