
TERSEREMPAK dengan beberapa orang teman dari parti politik lain, mereka tanya, ‘PAS tak ada pemilihankah?’
Saya jawab, ‘PAS akan buat pemilihan bulan September ini. Muktamar PAS di Kedah. Sekarang ni pun pemilihan peringkat dewan-dewan di kawasan dah selesai. Pemilihan peringkat PAS kawasan sedang berjalan’.
‘Oh, macam tu ka. Tak dengar bunyi apa pun’, jawab rakan tadi dalam keadaan wajah sedikit terkejut.
Pemilihan dalam PAS memang macam ni. Tak ada bising-bising sangat. Ada la sikit cakap-cakap, biasalah tu. Bila ada calon lebih dari satu, orang akan buat perbandingan, siapa yang patut dipilih. Maka orang akan bercakap mengenai siapa yang paling layak untuk dipilih. Itu biasa. Tapi tak adalah sampai buat pentas jelajah hiruk pikuk sana sini untuk berkempen.
Budaya dalam PAS, siapa yang berkempen untuk dapat jawatan, biasanya dia akan kalah. Kempen ni ada macam-macam bentuk dan cara.
Selama ini dia tak begitu aktif. Senyap tak tahu pergi mana. Dalam Whatsapp group pun jarang muncul. Tapi tahun pemilihan tiba-tiba dia aktif. Tiba-tiba kerap muncul dalam program, tiba-tiba kerap ada atas pentas dengan pimpinan utama, tiba-tiba kerap hadir mesyuarat, tiba-tiba kerap keluar media. Ini luar biasa. Orang mudah perasan dan kenal orang macam ni.
Selama ni dia tak aktif menulis atau berkarya. Tiba-tiba hari-hari keluar tulisan-tulisan atas nama dia. Boleh jadi dia tulis sendiri. Boleh jadi dia guna chatgpt. Tulisan dia pula ada yang tukang sebar dalam group-group Whatsapp. Ini luar biasa. Orang mudah perasan dan kenal orang macam ni.
Dia tiada jawatan di Kuala Lumpur. Ada jawatan di kampung atau kawasan saja. Tiba-tiba sanggup redah sempadan kawasan lain untuk jadi juara sesuatu isu. Sanggup redah kawasan lain, redah sempadan negeri lain. Kawasan sendiri tak dan nak peduli. Bercakap macam-macam topik dan tajuk. Semua tajuk dia tapau. Ini luar biasa. Orang mudah perasan dan kenal orang macam ni.
Setakat pemerhatian yang ada, orang-orang yang ada penyakit ‘tiba-tiba jadi luar biasa’ begini, ada yang terpilih. Lekat juga nama dalam senarai walaupun hujung-hujung. Tapi lama-lama luruh sendiri. Sebab lakonan tak bertahan lama, tak menjadi. Bila kulit dah luruh, akhirnya orang nampak isi sebenar.
Kebanyakkan orang yang ‘tiba-tiba jadi luar biasa’ ini tak dipilih oleh perwakilan. Tak menang. Sebab orang dah kenal perangai.
Dalam bahasa mudah, dalam PAS, siapa yang berkempen untuk dia dapat jawatan, dia awal-awal lagi akan kalah. Sama ada ditolak oleh perwakilan, ataupun tidak diterima namanya dalam mesyuarat untuk dilantik sebagai AJK lantikan.
Budaya dalam PAS, tak perlu berbelanja ratusan ribu untuk berkempen dalam pemilihan. Ada orang beritahu, budaya dalam parti politik tertentu, jutaan ringgit dilaburkan untuk menang bertanding satu-satu jawatan. Untuk tercalon dah kena keluar belanja. Untuk menang, lagilah banyak kena berbelanja.
Hasilnya, siapa yang paling banyak duit akan menang, walaupun dia yang paling bodoh. Peduli apa. Yang mereka nak, duit dia. Otak dia memang orang tak pakai pun. Maka, lingkuplah organisasi itu.
Dalam PAS, masing-masing bekerja ikhlas untuk perjuangan, untuk jamaah, untuk organisasi. Bukan untuk individu.
Bahkan, jika ketetapan jamaah mengatasi kepentingan diri, kepentingan diri perlu diketepikan, dikorbankan, demi melaksanakan ketetapan jamaah. Itulah yang diajarkan oleh tok-tok guru kita dulu sejak sekian lama.
Jika ada sesiapa yang bekerja untuk kepuasan orang tertentu, ikut selera orang tertentu, biasanya orang itu tak lama. Tunggu dan lihatlah. Sejarah dah ada.
Bergeraklah mengikut ketetapan jamaah, ketetapan organisasi. Bukan ikut akal kita yang singkat, bukan ikut selera individu tertentu yang berselindung di sebalik nama orang tertentu dan gelaran tertentu.
Semuanya bergantung kepada niat kita. Kalau niat kita bekerja untuk jamaah, untuk organisasi, maka Allah akan lorongkan kita ke jalan itu, jalan yang biasa dilalui oleh para pejuang terdahulu. Semua yang berat akan jadi ringan. Yang sukar akan jadi mudah. Yang jauh akan jadi dekat. Yang sikit akan jadi banyak.
Jika sebaliknya, maka akan dilorongkan kita ke jalan yang salah. Semua benda sekeliling yang berlaku akan disangka yang bukan-bukan. Maklumat-maklumat dipegang sungguh-sungguh walaupun dikutip di tepi longkang. Ditanam pula benih-benih longkang tu dalam kepala anak-anak buah supaya percaya dengan naratif yang dibawa, walhal semuanya sama sekali jauh daripada apa yang benar. Tak dipeduli lagi sahih atau tidak. Hubungan kawan dan sahabat semua dibuang dalam longkang. Yang dipakai sekarang hanya serkap jarang, demi untuk capai nafsu diri yang berharga sekupang.
Jadilah yang biasa. Seperti mana diri kita yang dikenali dahulu, seperti itu jugalah yang dikenali sekarang.
Jangan jadi orang yang ‘tiba-tiba luar biasa’. Orang mudah perasan. Lama-lama akan kantoi. Malu kokram (kepada orang lain).
USTAZ AFNAN HAMIMI DATO’ TAIB AZAMUDDEN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
28 Mei 2025 – HARAKAHDAILY 28/5/2025











