Isu Melayu-Islam mencemaskan, tetapi kerajaan alpa

Kepentingan dan sensitiviti Melayu-Islam diinjak-injak

Dato' Asmawar Samad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PUTRA membidas kerajaan kerana alpa dan tidak prihatin terhadap isu membabitkan kepentingan orang Melayu dan agama Islam, termasuk kemerosotan mendadak keluasan Tanah Rizab Melayu di seluruh negara.

- Advertisement -

Naib Presiden PUTRA, Dato’ Asmawar Samat berkata, Himpunan Melayu Berdaulat 24 Mei lalu merupakan manifestasi kekecewaan rakyat terhadap sikap sambil lewa kerajaan dalam melindungi hak serta maruah bangsa Melayu.

“Cogan kata baharu iaitu ‘Melayu Berdaulat’, menggantikan ‘Hidup Melayu’ sepertimana yang sering dilaungkan oleh parti politik tertentu sebelum ini yang menunjukkan tahap kekecewaan mereka terhadap keprihatinan kerajaan atas isu-isu berkepentingan orang Melayu dan Islam.

“Isu-isu berkaitan dilihat semakin terjejas dan tidak diendahkan kerana berlaku kecurian dan rompakan di siang hari melibatkan kecuaian dan kelemahan jabatan dan agensi penguatkuasaan ke atasnya.

“Antaranya, penurunan Tanah Rizab Melayu secara mendadak kepada 12 peratus sepatutnya awal-awal lagi telah dilihat sebagai suatu perkara yang mencemaskan, namun apa yang terjadi, peratusan tersebut tidak berubah dan terabai,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.

Beliau berkata, kelemahan penguatkuasaan juga terserlah umpama dibangkitkan kes pencerobohan tanah untuk tanaman Musang King di Raub, Pahang yang telah diputuskan oleh mahkamah.

“Namun penguatkuasaannya sekarang mengapa menjadi tertangguh? Maka, pihak aktivis telah membuat ketetapan untuk melancarkan ‘Majlis Tanah Rizab Melayu’ dengan menubuhkan pusat atau klinik aduan bagi menjalankan siasatan,” katanya.

Begitu juga katanya, tindakan meroboh dan menghalau penghuni keluar rumah dibuat, sedangkan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) belum lagi digubal dan diluluskan secara perundangan di Parlimen dan menjadi bidangkuasa tugas pihak Kementerian dan Kerajaan.

“Dibangkitkan juga, cadangan untuk mendaftar Kampung Baru Sekinchan di bawah Parlimen Sungai Besar (asalnya Tanah Rizab Melayu) di bawah Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Dan cadangan pemberimilikan Bagan Nakhoda Omar (milik Melayu) di bawah Parlimen Sabak Bernam kepada bukan Melayu. (Manakala) Berkaitan agama Islam pula, pihak aktivis telah meluahkan rasa tidak puas hati mereka (dalam banyak isu).

“Kerana ada pihak tertentu (dalam kalangan) bukan Islam yang telah menjadi sebahagian daripada entiti kerajaan yang suka membangkit dan menginjak-injak perkara melibatkan kepentingan agama dan sensitiviti Islam.

“Umpamanya, mahu mengimamkan solat hajat agar konsep kerjasama UmDAP (Umno-DAP) tercapai dan dimakbulkan Allah SWT,” katanya menegaskan bahawa PUTRA bersetuju dengan cogan kata ‘Melayu Berdaulat’.

Kerana jelas Dato’ Asmawar, perkara-perkara tersebut melibatkan orang Melayu yang kini sering diusik sedangkan perkara itu sudah termaktub di dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Perbuatan sedemikian boleh menjadi kesalahan, menjejaskan kestabilan dan keharmonian kaum kerana perkara yang diusik dan diungkit-ungkit itu mudah menjadi umpama wabak yang tidak terkawal,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya ingin mengesyorkan agar Akta Keselamatan Dalam Negeri diperkenalkan semula bagi menangani permasalahan pengeksploitasi Tanah Rizab Melayu agar kedudukan di dalam Perlembagaan sentiasa terjamin dan dipelihara dengan baik.

“Pihak kerajaan janganlah dilihat tidak prihatin dan membiarkan para retorik politik dan kartel bisnes tertentu bebas bertindak semata-mata kerana mereka berada dalam kerajaan.

“Sekiranya berterusan, semangat membina Kerajaan Madani akan terhakis ditelan oleh mereka yang rakus dan bersikap mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh atas kelemahan dan perpecahan kepimpinan Melayu itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/5/2025

- Advertisement -