Meterai kerjasama 3 hala projek solar 1GW di Tasik Kenyir

Burhanuddin (tengah) menunjukkan dokumen perjanjian Heads of Terms of Joint Development Agreement (HoT JDA) yang telah berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bersempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Terengganu Inc melakar satu lagi pencapaian penting dalam sektor tenaga boleh diperbaharui menerusi pemeteraian perjanjian awal antara syarikat tersebut bersama TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) dan ACWA Power Company.

- Advertisement -

Ia bagi pembangunan projek Solar Fotovoltaik Terapung (FPV) berskala besar dengan kapasiti minimum satu gigawatt (1GW) itu bakal menjadi sistem solar terapung terbesar di Asia Tenggara, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju teknologi hijau di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, projek berkenaan adalah manifestasi komitmen negara terhadap agenda peralihan tenaga bersih serta pembangunan mampan jangka panjang di Tasik Kenyir, Terengganu.

“Dengan kapasiti minimum 1GW, pemasangan solar terapung ini akan menyumbang secara besar kepada sasaran tenaga boleh diperbaharui Malaysia sambil mempamerkan penyelesaian tenaga bersih yang inovatif.

“Projek ini memanfaatkan kelebihan unik teknologi solar terapung termasuk pengurangan penyejatan air, peningkatan kecekapan panel solar disebabkan kesan penyejukan air dan penggunaan tanah yang optimum dengan memanfaatkan badan air untuk penjanaan tenaga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Majlis pertukaran dokumen Heads of Terms of Joint Development Agreement (HoT JDA) telah berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bersempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

Dokumen perjanjian itu telah ditandatangani oleh Burhanuddin Hilmi bersama Pengarah Urusan TNB Genco, Dato Ir Muhamad Nazri Pazil serta Pengerusi Lembaga Pengarah ACWA Power Company, Mohammad A Abunayyan.

Majlis itu turut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Terdahulu, satu lagi majlis menandatangani perjanjian pembangunan bersama antara ketiga-tiga pihak telah diadakan di Hotel Four Seasons Kuala Lumpur.

Untuk rekod, projek itu dijangka memberi impak langsung kepada keselamatan tenaga negara serta menyokong aspirasi Malaysia mencapai status pelepasan karbon sifar bersih (net-zero) menjelang 2050.

Selaras dengan pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Terengganu, inisiatif ini turut dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi digital negeri berasaskan teknologi tinggi dan berlandaskan kemampanan. – HARAKAHDAILY 28/5/2025

- Advertisement -