
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menjelaskan pihaknya tidak memperkenalkan sebarang peraturan baharu berhubung pengeluaran permit khas bagi aktiviti mencandat sotong, sebaliknya hanya bertindak sebagai pemudah cara dan perunding antara pengusaha bot dan Jabatan Laut Malaysia (JLM).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pengeluaran permit khas itu bukan dasar baharu yang dikuatkuasakan kerajaan negeri, sebaliknya usaha menyelaras garis panduan keselamatan sedia ada demi menjamin keselamatan pelancong.
“Permit khas ini bertujuan menjamin keselamatan pelancong, khususnya peserta aktiviti mencandat sotong, selain meningkatkan keyakinan pelancong terhadap tahap keselamatan dan profesionalisme pengendalian pelancongan marin di Terengganu.
“Objektif pengenalan permit itu juga bagi mengawal selia aktiviti mencandat secara lebih tersusun, selamat dan mengikut peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mengulas lanjut beliau berkata, permit khas itu hanya diperlukan sepanjang musim mencandat dari April hingga Oktober dan dikeluarkan oleh JLM Wilayah Timur tanpa sebarang bayaran.
“Permit akan dikeluarkan oleh Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur (JLMWT) dan tertakluk kepada syarat-syarat teknikal yang ditetapkan.
“Tiada bayaran dikenakan bagi permohonan permit khas ini dan pemohon perlu mematuhi semua syarat yang telah ditetapkan.
“Kerajaan negeri juga tidak mengenakan sebarang bayaran bagi permohonan permit khas ini,” katanya yang juga ADUN Kijal.
Katanya lagi, pengusaha bot yang sudah memiliki lesen ‘sport fishing’ tidak perlu memohon permit khas itu kerana lesen sedia ada sudah meliputi kebenaran mencandat sotong.
“Bagi pelaksanaan Program Candat Sotong, permit khas hanya diperlukan untuk bot-bot pesisir yang beroperasi dalam jarak 15 hingga 20 kilometer dari pesisir pantai.
“Permit khas ini adalah dokumen berasingan daripada lesen sedia ada, diwujudkan khusus untuk menyelaras operasi bot pelancongan pesisir pantai sepanjang musim mencandat.
“Tujuannya adalah untuk memastikan keselamatan pelancong terjamin dan aktiviti pelancongan marin di negeri ini dikendalikan secara profesional serta mematuhi peraturan,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut mencadangkan kepada JLM agar mewujudkan zon khas mencandat yang bebas daripada aktiviti pukat tunda bagi menjamin kelestarian sumber marin.
“Zon khas ini akan dikhususkan dari April hingga September bagi melindungi sumber marin serta menjamin kelestarian habitat mencandat.
“Permit khas mencandat juga akan diguna pakai di kawasan tersebut bagi memastikan kawal selia yang lebih teratur,” ujarnya.
Beliau berkata, perbincangan lanjut sedang dijalankan bersama JLM untuk memperincikan pelaksanaan permit khas itu agar jelas, telus dan adil kepada semua pengusaha.
“Semua pengusaha bot diseru memberikan kerjasama penuh demi memelihara keselamatan pelancong dan memastikan industri pelancongan marin terus berkembang secara mampan dan terkawal,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/5/2025




















