Perkembangan mutakhir dunia Islam (26 Mei 2025)

- Advertisement -

REJIM penjajah Zionis Israel telah menguasai hampir 77 peratus daripada Semenanjung Gaza di saat serangan udara dan ‘genocide’ berterusan tentera penjajah Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Angka korban warga Palestin sejak Oktober 2023 terus meningkat kepada 53,322 orang dengan lebih 122,797 orang lagi dilaporkan cedera.  Dalam tempoh 24 jam lalu akibat serangan udara ganas berterusan tentera penjajah rejim Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza, lebih 60 orang warga Palestin terkorban manakala 185 orang lagi dilaporkan cedera dengan ramai mangsa masih terperangkap bawah runtuhan bangunan dan kesukaran untuk melalui jalanraya yang rosak teruk untuk menyelamatkan mangsa.

Tentera penjajah rejim Zionis Israel telah mengerahkan 9 pasukan infantri dan briged perisai tambahan dalam tempoh 24 jam lalu ke Semenanjung Gaza dalam usaha untuk menambah kekuatan ketenteraannya berikutan keputusan kabinet negara haram Israel untuk meluaskan skop operasi ketententeraan di Semenanjung Gaza.

Dalam satu tinjauan pendapat terbaharu yang dijalankan oleh Pennsylvania State University, Amerika Syarikat ke atas pendatang haram Yahudi di negara haram Israel yang disiarkan oleh akhbar negara haram Israel Haaretz, mendapati majoriti pendatang haram Yahudi atau 82 peratus menyokong pengusiran warga Palestin dari Semenanjung Gaza. Dalam satu tinjauan pendapat yang dijalankan stesen televisyen Channel 13 negara haram Israel, 44 peratus pendatang haram yahudi menyokong operasi ketenteraan di Semenanjung Gaza manakala 40 peratus lagi menentang. Dalam tinjauan yang sama, 53 peratus pendatang haram yahudi menyokong usaha untuk tidak membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

- Advertisement -

Media negara haram Israel melaporkan bahawa Amerika Syarikat meminta rejim penjajah Zionis Israel untuk menangguhkan operasi ketenteraan berskala besar ke atas Semenanjung Gaza ‘The Gideon’s Chariots’ untuk memberi masa dan laluan kepada rundingan untuk membebaskan tahanan pendatang haram Yahudi.

Ketua kumpulan penjenayah Yasser Abu Shabab, yang mempunyai hubungan dengan militan DAESH ‘telah muncul’ di Semenanjung Gaza merompak konvoi bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza di bawah perlindungan tentera penjajah rejim Zionis Israel.

Ratusan ribu menyertai protes besar-besaran di negara-negara Eropah seperti Perancis, Jerman dan Sweden meminta masyarakat antarabangsa untuk menghalang dan menghentikan ’genocide’ berterusan di Semenanjung Gaza.

Sepanyol menjadi tuan rumah persidangan kepada 20 buah negara yang terdiri daripada negara-negara Arab dan Eropah termasuk organisasi antarabangsa untuk menekan rejim penjajah Zionis Israel supaya menghentikan perang di Semenanjung Gaza. Ia juga menggesa untuk mengenakan sekatan ke atas negara haram Israel termasuk kemasukan segera bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Tentera penjajah rejim Zionis Israel terus melakukan serbuan dan pencerobohan di Tebing Barat ketika pendatang haram yahudi terus melakukan serangan ke atas bandar dan penduduk Palestin di seluruh Tebing Barat.

“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Palestin”

DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 26/5/2025

- Advertisement -