
KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menyahut titah teguran Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berhubung kebersihan kemudahan awam dengan merancang untuk menyediakan satu tandas lima bintang bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata inisiatif tersebut sebagai langkah proaktif pihak berkuasa tempatan setelah menerima teguran baginda sewaktu perasmian sebuah mercu tanda baru-baru ini.
“Setakat ini kita sudah ada empat tandas lima bintang iaitu di Taman Sena Indah, Lencongan Dua, Pasar Kuala Perlis dan Medan Selera Padang Besar serta satu lagi masih dalam proses pembinaan iaitu di Titi Chai.
“Sebolehnya kita nak capai satu DUN satu tandas lima bintang sebab semua ini kawasan tumpuan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis MPK di Dewan Mesra, di sini hari ini.
Katanya lagi, masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam memastikan kemudahan tersebut dijaga dengan baik agar usaha ini memberi manfaat jangka panjang.
“Kalau kita tengok di Taman Sena Indah, tandas di sana memang terjaga elok walaupun kawasan itu sentiasa ramai orang. Maknanya, kalau masyarakat sama-sama jaga, ia boleh kekal bersih dan berkualiti,” ujarnya.
Tambahnya, projek tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka melibatkan anggaran perbelanjaan sekitar RM250,000 bagi setiap tandas lima bintang.
Parkir automatik pertengahan Jun
Dalam perkembangan lain, MPK juga akan menjalankan sistem parkir automatik bermula pertengahan Jun ini sebagai langkah ke arah menjadikan bandar Kangar lebih selamat dan teratur.
Menurut Affendi, sistem baharu itu membolehkan pemilik premis membeli pas bulanan seperti biasa dan juga membuat tempahan lot parkir dengan perbincangan bersama syarikat operator yang dilantik.
“Semua urusan akan dilakukan terus dengan syarikat yang menguruskan sistem ini,” katanya.
Menurut beliau, pengguna akan diberikan masa percuma selama 15 minit dan mereka boleh menggunakan aplikasi khas untuk membuat bayaran.
“Bagi yang tidak mahu memuat turun aplikasi, bayaran juga boleh dibuat di kedai yang mengambil bahagian.
“Tak ada beza sangat pun dengan sistem sebelum ini, malah lebih mudah. Dalam satu aplikasi boleh daftar lima nombor plat, jadi untuk ibu bapa yang tak guna telefon pintar, anak-anak mereka boleh bayarkan,” katanya.
Harga berpatutan untuk pelanggan kedai
Dalam usaha menjaga kepentingan pemilik premis dan pelanggan mereka, Affendi berkata harga pas parkir yang ditawarkan adalah berpatutan dan pelanggan tidak akan dikenakan caj berlebihan.
“Kalau pelanggan datang naik motor, sangat berpatutan. Kedai-kedai pun tak boleh sesuka hati ambil banyak lot parkir. Semua kena ada satu tiket sahaja untuk dapatkan harga murah,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa sistem ini akan mewajibkan pemilik premis berdaftar dengan operator dan segala penggunaan parkir mestilah melalui perjanjian yang telah ditetapkan.
Affendi juga optimis bahawa langkah-langkah baharu ini akan membawa bandar Kangar ke arah lebih sistematik dan selamat.
“Saya kena bagi dia (syarikat) buat sebab kita menuju ke arah bandar selamat. Lanjutkan sistem ini pertengahan bulan enam nanti. Tak ada beza sangat, tapi lebih selamat dan tersusun,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 26/5/2025











