
JOHOR BAHRU: Pemimpin negara umat Islam perlu memperkukuhkan persaudaraan dan menzahirkan tindakan yang tegas dalam membela dan menuntut keadilan buat penduduk di Gaza, Palestin.
Ketua Penerangan PAS Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, sokongan dan dokongan yang bersungguh-sungguh daripada semua pihak adalah amat diperlukan bagi memberikan tekanan berat terhadap rejim Zionis Israel.
“Dari sudut pandang yang lain pula jeritan dan rintihan kelaparan sudah tidak diendahkan lagi. Anak-anak, wanita dan orang tua ramai yang menemui syahid kerana kelaparan. Namun dunia terus membisu dan memekakkan telinga.
“Termasuk pemimpin negara Islam. Bahkan bantuan yang disalurkan tidak sampai kerana dirampas oleh pihak Zionis di pertengahan jalan.
“Pemimpin negara umat Islam terutamanya negara-negara Arab dilihat lebih seronok untuk terus bermesra dengan sekutu kuat Israel iaitu Amerika Syarikat,dalam masa yang sama turut terpesona dengan langkah normalisasi Israel.
“Apakah itu tanda-tanda kemusnahan akhir zaman? Umatnya berpecah dan tidak menghiraukan antara satu sama lain lagi! Inikah yang dikatakan sebagai ‘hubbu dunia wakarahiyatul maut’ (cinta dunia dan bencikan kematian)?” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, beliau mengingatkan pemimpin umat Islam bahawa kecuaian mereka dalam membela saudara seagama di Gaza pastinya akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.
“Rasulullah SAW memberi amaran di dalam hadis baginda mafhumnya ‘Sesiapa yang tidak mengambil peduli tentang urusan hidup umat Islam, maka dia bukanlah dari kalangan mereka’, katanya.
Keganasan rejim Zionis Israel terhadap umat Islam di Palestin khususnya Gaza kini semakin mendekati puncak, apabila lebih 53,000 jiwa telah terkorban syahid manakala lebih 122,000 yang lain cedera.
Bedilan dan serangan udara yang dilancarkan Israel saban hari sudah menjadi bahan tontonan bukan sahaja bagi umat Islam, malah bagi masyarakat dunia umumnya. – HARAKAHDAILY 26/5/2025











