Terpukau keindahan Sungai Merbok, Pulau Songsong

- Advertisement -

MERBOK: Pengalaman kali pertama menunggang jet ski di Sungai Merbok, sangat menguja dan menyeronokkan, kata Pengerusi Kebudayaan, Pelancongan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin.

- Advertisement -

Menurutnya, keterujaan itu bukan kerana aktiviti semata-mata, tetapi yang lebih menarik adalah keindahan alam semulajadi sepanjang persisiran sungai tersebut

“Inilah ‘Experience Kedah’ yang mungkin tiada di negeri lain. Saya sendiri saksikan dan alami sepanjang perjalanan. Saya benar-benar terpukau dengan keindahan semula jadi masih terpelihara serta panorama mempesona sepanjang Sungai Merbok ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, airnya yang tenang memberi kedamaian di hati seolah-olah sebuah lukisan alam hidup, malahan pulau-pulau kecil di sekelilingnya bagaikan mutiara tersembunyi.

“Begitu tenang di mana hutan-hutan bakau yang memagari tebing sungai memberi rasa nyaman, sangat mendamaikan. Sungai Merbok ini adalah anugerah alam yang kaya dengan biodiversiti, sejarah, dan potensi sebagai ekopelancongan luar biasa.

“Rugi tidak diketengahkan kepada umum,” katanya yang terdahulu Dato’ memenuhi jemputan untuk menyertai program menunggang jet ski menyusuri Sungai Merbok dan melawat Pulau Songsong.

Program itu juga merupakan salah satu tarikan sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 untuk menggamit pengunjung serta pelancong merasai pengalaman keindahan alam semula jadi yang mengujakan.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, berkata, Pulau Songsong juga antara destinasi pelancongan yang wajar dikunjungi terutama untuk merasai kecantikannya belum tercemar dengan pembangunan.

“Pulau Songsong ini ibarat permata yang begitu memukau. Hamparan pantainya memutih, air lautnya yang berkilau jernih, deruan ombak yang beralun lembut dan desiran angin membelai lembut.

“Semua itu membentuk pengalaman magikal yang menenangkan jiwa dan menyegarkan minda,” kata beliau menyifatkan pulau itu bukan sekadar lokasi persinggahan, sebaliknya destinasi yang mampu menjadi ikon pelancongan maritim bagi negeri Kedah.

Malah pihaknya juga akan memugar, melestari, seterusnya mempromosikan segala keindahan dimiliki oleh negeri ini, agar diangkat sebagai produk pelancongan unggul yang mampu memberi limpahan manfaat kepada rakyat Kedah secara menyeluruh.

“InsyaAllah, antara langkah awal yang sedang dirancang ialah membuka peluang kepada pengunjung untuk turut menikmati keindahan Sungai Merbok dengan menunggang jet ski.

“Semoga segala perancangan ini dipermudahkan dan berjalan dengan lancar,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 24/5/2025

- Advertisement -