
JANGAN terkejut, sekiranya anda disaman kerana memakai kasut bertumit tinggi tanpa permit.
Ini kerana, memakai kasut bertumit tinggi melebihi lima sentimeter tanpa permit yang sah, dikira satu kesalahan menyalahi undang-undang.
Walau bagaimanapun, undang-undang tersebut bukanlah di Malaysia, sebaliknya di sebuah pekan kecil di Monterey, California.
Di pekan itu, mana-mana individu khususnya kaum wanita yang ingin memakai kasut bertumit tinggi, perlu memohon permit terlebih dahulu daripada pihak Dewan Bandaraya Carmel-by-the-Sea.
Permit tersebut akan diberi secara percuma dan ramai pelawat mendapatkannya sebagai cenderahati walaupun mereka tidak memakai kasut bertumit tinggi.
Ini kerana, sijil itu mempunyai ciri fizikal yang menarik, dikeluarkan atas nama individu yang membuat permintaan serta ditandatangani oleh kerani bandar bertugas.
Kenapa undang-undang itu dilaksanakan, tentu menjadi tanda tanya malah pastinya menjadi kehairanan banyak pihak.
Sebenarnya, peraturan atau undang-undang itu telah lama diluluskan iaitu pada tahun 1963 atas permintaan peguam bandar raya.
Perkara ini disebabkan bandar-bandar di California, antara lokasi yang mempunyai banyak pokok cemara dan pain Moterey.
Pokok-pokok tersebut kebanyakannya akan berkembang menjadi saiz besar.
Apabila pokok-pokok itu tumbuh, akarnya akan menolak kaki lima konkrit sekali gus mewujudkan bahaya sekiranya kaki tersandung.
Berikutan risiko tersandung terlalu tinggi, maka peguam bandar raya, telah mencadangkan untuk melaksanakan permit bagi menghalang orang ramai daripada menyaman pihak berkuasa sekiranya berlaku kemalangan.
Tentulah hal ini menjadi unik selain keprihatinan pihak peguam bandar raya terhadap keselamatan pengunjung ke situ.
Justeru pemakai kasut bertumit tinggi lebih terdedah kepada risiko itu, maka undang-undang tersebut secara tidak langsung mengekang pemakaian kasut bertumit tinggi melebihi lima sentimeter, walaupun dibenarkan permohonan permit untuk itu.
Tetapi di Malaysia, penduduknya masih bebas untuk memilih jenis kasut yang ingin dipakai sama ada bertumit tinggi atau tidak.
Sungguhpun begitu, ia tidak bermakna, pemakai kasut tinggi di Malaysia tidak berdepan dengan risiko bahaya, lebih-lebih lagi sekiranya tidak berhati-hati. – HARAKAHDAILY 24/5/2025











