
ALOR SETAR: Kerajaan negeri sehingga kini belum menerima maklum balas dari Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), berhubung menjadikan Bukit Enggang sebagai lokasi kajian perintis unsur nadir bumi (REE).
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) sebanyak dua sebelum ini bagi menilai kesan pengekstrakan REE terhadap hutan dan alam sekitar.
“Kerajaan negeri bersedia mematuhi garis panduan yang ditetapkan untuk memastikan penerokaan dilakukan mengikut prosedur namun pendekatan yang dicadangkan seolah-olah tidak difahami oleh NRES,” katanya di sini.
Dalam pada itu tegasnya, selagi NRES masih kekal dengan dasarnya tidak membenarkan sebarang aktiviti perlombongan REE dijalankan di kawasan hutan simpan, ia akan membantutkan usaha kerajaan negeri meneroka galian tersebut secara terkawal.
“Kalau ada SOP apapun tapi masih kekal dasar itu, tak ada gunanya, ini kerana REE banyak terdapat dalam hutan simpan. Dalam dua kali mesyuarat MTN, Kedah tawarkan Bukit Enggang.
“(Iaitu) untuk dibuat kajian kesan pengekstrakan REE terhadap alam sekitar dan keseimbangan ekologi, namun senyap, tiada maklum balas,” tambah beliau.
Justeru kata Sanusi, sikap sedemikian sekali gus menimbulkan persoalan terhadap komitmen Kerajaan Persekutuan dalam penerokaan sumber alternatif bagi meningkatkan hasil negeri itu.
Beliau berkata demikian bagi menyangkal kenyataan Menteri NRES, Nik Nazmi Nik Ahmad yang menafikan berlaku kelewatan oleh Kerajaan Persekutuan dalam mengeluarkan SOP bagi perlombongan REE.
Pada kenyataan itu, Nik Nazmi mendakwa SOP perlombongan REE telah pun disediakan dan diedarkan kepada semua kerajaan negeri sejak Disember tahun lalu.
Sanusi juga sebelum ini pernah menyatakan kelewatan pengeluaran SOP REE oleh Kerajaan Persekutuan seolah-olah disengajakan bagi menghalang negeri-negeri di bawah SG4 daripada menjadi lebih maju.
“Negeri-negeri SG4 seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu memiliki sumber REE yang banyak dan mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya dibenarkan diteroka secara sah.
“Tetapi sehingga kini SOP eksplorasi bagi mengekstrak galian itu tersebut masih belum dikeluarkan oleh NRES,” tegasnya lagi.
Sebelum ini Sanusi juga ada memaklumkan, terdapat pelabur telah membentangkan kaedah perlombongan in-situ leaching (ISL), yang tidak melibatkan tebangan pokok dan hanya menggerudi lubang untuk ekstrak REE.
Namun menurutnya, kerana ia termasuk dalam aktiviti melombong dan bertembung dengan polisi 12, maka tidak dibenarkan.
Oleh itu NRES katanya, perlu mengkaji semula polisi 12, yang tidak membenarkan perlombongan dalam kawasan hutan simpan, memandangkan kebanyakan sumber REE dikenal pasti berada di kawasan tersebut. – HARAKAHDAILY 22/5/2025




















