
GEORGE TOWN: Islam meletakkan pengurusan air sebagai satu tanggungjawab sosial dan agama, bukan sekadar sumber ekonomi atau bahan mentah semata-mata, tegas Muhammad Fauzi Yusoff (PN-Sungai Dua).
Katanya, air adalah amanah Tuhan sebagaimana termaktub di dalam surah Al-Anbiya’, ayat 30 yang bermaksud “Dan Kami jadikan daripada air segala sesuatu yang hidup”.
Oleh itu jelasnya, air ialah asas kehidupan, dan mengurusnya dengan zalim, boros atau tidak adil, adalah menyalahi amanah yang disyariat Islam.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang berhujah demikian ketika mengambil bahagian pada perbahasan RUU Enakmen Sumber Air Pulau Pinang 2025, pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
“Rasulullah SAW juga menekankan keadilan dalam pembahagian air, seperti mana sabda Baginda yang bermaksud, “Manusia berkongsi pada tiga perkara iaitu air, rumput dan api”.
“(Ini) menunjukkan bahawa air ialah hak kolektif yang tidak boleh dimonopoli atau disalah guna serta Islam melarang pemusatan sumber asas yang membawa mudarat kepada ramai,” katanya lagi.
Bahkan jelas beliau di dalam surah Ar-Rum, ayat 41, Allah SWT juga berfirman mengenai kerosakan di daratan dan lautan yang dilakukan sendiri oleh angkara manusia.
Ayat itu katanya, menjadi peringatan besar, bahawa pengurusan sumber alam seperti air mesti bersifat adil, lestari dan tidak menyebabkan kerosakan akibat ketamakan atau monopoli.
Mengulas lanjut beliau berkata, undang-undang yang digubal untuk mengurus sumber air mestilah menepati objektif pensyariatan iaitu maqasid syariah menjaga nyawa, harta dan kesejahteraan awam.
Maka, RUU ini tegas Ustaz Muhammad Fauzi, harus dinilai bukan sahaja dari sudut teknikal dan pentadbiran, tetapi dari lensa etika dan keadilan.
“Saya juga mempunyai beberapa pandangan yang ingin saya lontarkan berkenaan RUU Sumber Air Pulau Pinang 2025 ini. Antaranya, dalam Fasa 3 iaitu Tanggungjawab Mengurus dan Melindungi Sumber Air.
“Di mana pengarah perlu membentangkan laporan tahunan kepada sidang DUN yang merangkumi semua arahan, pemantauan dan pelaksanaan yang dibuat di bawah RUU ini.
“(Ini) supaya dapat menjamin ketelusan serta membolehkan ADUN-ADUN menyemak dan menilai prestasi serta kesan kepada rakyat,” cadangnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan cadangannya berkaitan Fasal 7 iaitu Pengisytiharan Kawasan Perlindungan, masukkan klausa yang mewajibkan Pihak Berkuasa Negeri (PBA) mengadakan rundingan awam dan memaparkan draf kawasan perlindungan sebelum pewartaan.
Situasi sedemikian ujarnya membolehkan rakyat, NGO, pakar dan pemilik tanah tempatan memberi pendapat mereka terhadap kawasan-kawsan yang terlibat.
Sementara bagi Fasal 6 iaitu Pelan Pengurusan Sumber Air Antara Negeri, beliau mencadangkan agar diadakan satu perjanjian formal yang mengandungi perjanjian rasmi, kerangka pampasan dua hala, dan penyelesaian pertikaian melalui tribunal neutral.
“Cadangan ini juga akan melibatkan negeri Perak di mana Pulau Pinang kini sedang dalam proses mengambil air dari Sungai Kerian dan Kedah, yang kita bergantung 80 peratus sumber air mentah daripada Sungai Muda,” tegas beliau.
Beliau menambah, RUU ini boleh menjadi asas yang baik, tetapi perlu disemak semula agar tidak menjadi instrumen tekanan kepada rakyat terutama di peringkat bawahan atau senjata kuasa mutlak kepada pihak pentadbiran.
“Sebagai umat Islam, kita tidak boleh memisahkan pengurusan air daripada nilai ihsan, syura, dan keadilan. Air bukan milik sesiapa. Air ialah milik semua. – HARAKAHDAILY 22/5/2025











