Keputusan STAM YIK 2024 catat peningkatan

Tujuh calon dapat 10 Mumtaz

- Advertisement -

KOTA BHARU: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 bagi sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) menunjukkan peningkatan kepada 2.53 peratus berbanding tahun 2023.

- Advertisement -

Peningkatan itu hasil pencapaian cemerlang tujuh orang calon yang memperoleh 10 Mumtaz dalam semua mata pelajaran.

Pada masa sama, seramai 43 calon memperoleh pangkat Mumtaz berbanding hanya 28 calon pada tahun lalu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Kamaruzaman Mohamad berkata, seramai 161 calon memperoleh pangkat Jayyid Jiddan berbanding 117 calon pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, pangkat Jayyid pula dicapai oleh 266 calon, Maqbul (lulus) 42 calon manakala 385 calon mendapat pangkat Rasib (gagal).

“Pencapaian gred purata peringkat YIK menunjukkan penurunan daripada 3.09 peratus pada 2023 kepada 3.19 peratus pada 2024,” katanya pada sidang media sempena pengumuman keputusan STAM di Bilik Mesyuarat Utama Kompleks YIK, Tunjong, di sini.

Turut serta dalam sidang media itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat dari Tanah Suci Makkah secara dalam talian.

Hadir sama, Pengarah YIK, Zulkifle Ab Rahman dan Timbalan Pengarah (Sekolah), Ahmad Pakhruddin Deraman serta Timbalan Pengarah (Akademik), Sukeri Hussin dan pegawai-pegawai lain.

Sementara itu, Maahad Muhammadi Lelaki diumumkan sebagai sekolah terbaik STAM 2024 dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.10, diikuti Maahad Muhammadi Perempuan (GPS 2.44) dan Maahad Muhammadi Pasir Pekan (GPS 2.72).

Dalam kategori Maahad Pilihan, Maahad Muhammadi Pasir Pekan menduduki tempat pertama, diikuti Maahad Muhammadi Pasir Mas dan Maahad Muhammadi Tumpat.

“Maahad Syamsul Maarif (L) pula muncul tempat pertama bagi kategori Maahad Kerajaan, diikuti Pusat Pengajian Pondok dan ketiga Maahad Syamsul Maarif (P),” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, anak kepada Exco Kerajaan Kelantan, Dato’ Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail, iaitu Tuan Mohd Al-Syafie turut mencatat kejayaan apabila menjadi antara tujuh pelajar yang mendapat 10 Mumtaz.

Tuan Mohd Al-Syafie merupakan pelajar Pusat Pengajian Pondok Moden, Kandis, Bachok. – HARAKAHDAILY 20/5/2025

- Advertisement -