
KUALA TERENGGANU: Musim candat sotong Terengganu 2025 dijangka mencatatkan kehadiran lebih 30,000 pelancong sepanjang tempoh penganjurannya dari April hingga Ogos ini.
Program ikonik yang sinonim dengan budaya laut Terengganu itu telah dilancarkan secara rasmi pada Jumaat, 9 Mei 2025, di Jeti Pelancongan Marang dengan tema “Pakat Maghi Candak Sutong”.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Dato’ Razali Idris berkata, penganjuran tahun ini memperlihatkan pendekatan lebih inklusif.
Iaitu jelasnya, melibatkan pengusaha tempatan, pemain industri pelancongan, media serta penglibatan rasmi delegasi luar negara dari Thailand, Singapura dan Filipina.
“Penganjuran tahun ini berbeza kerana tiada pertandingan dianjurkan, sebaliknya ditekankan elemen pelancaran musim dan keterlibatan pelbagai sektor seperti komuniti, pelancong, media dan agensi pelancongan.
“Keunikan penganjuran 2025 merangkumi penglibatan rasmi dari luar negara seperti Narathiwat (Thailand), Singapura, dan Filipina, menjadikan program ini platform diplomasi pelancongan serantau.
“Turut serta dalam liputan ialah media perdana, media sosial serta pemengaruh dari dalam dan luar Terengganu termasuk dari Thailand, yang akan membantu memperluaskan capaian promosi program ini secara digital dan nasional,” jelasnya.
Kata beliau, karnival empat hari bermula sejak 8 Mei kelmarin dahulu hingga hari ini, 11 Mei telah menghidupkan kawasan sekitar Jeti Pelancongan Marang dengan pelbagai aktiviti promosi, jualan dan kebudayaan.
Menambahkan lagi daya tarikan, beberapa hotel utama di Kuala Terengganu turut memperkenalkan menu istimewa berasaskan sotong seperti Breaded Squid with Percik Sauce (Primula Beach Hotel).
Juga Nasi Lemak Sotong dan Sotong Ketupat Ala Terengganu (Raia Hotel), serta Stuffed Squid with Creamy Coriander Sauce (Duyong Marina Resort).
Sementara itu, beliau berkata, program melibatkan lebih 3,000 bot candat dengan anggaran ROI melebihi RM7.5 juta, hasil daripada tempahan pakej, penginapan, aktiviti candat serta limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.
“Musim ini dijangka memberi impak positif terhadap sektor pelancongan negeri khususnya dalam usaha memperkukuh pelancongan berasaskan komuniti dan laut, sejajar dengan agenda promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dan Visit Terengganu Year 2027 (VTY2027).
“Kerajaan negeri menyeru seluruh agensi, pemain industri dan masyarakat untuk terus menyokong penganjuran ini demi menjadikan Terengganu sebagai destinasi unggul pelancongan laut dan budaya di rantau ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/5/2025




















