Musim pemilihan: Ujian amanah, ikhlas dalam perjuangan

- Advertisement -

MUSIM Mesyuarat Agung Tahunan di seluruh peringkat dalam PAS kini kembali menyapa.

Ia bukan sekadar agenda tahunan, tetapi satu detik penting yang menandakan berlalunya satu fasa kepimpinan dan bermulanya fasa baharu, bukan hanya dalam struktur organisasi, tetapi dalam pembinaan jiwa dan semangat perjuangan.

Pemilihan dalam PAS bukan sekadar pertandingan siapa lebih layak, tetapi lebih mendalam daripada itu: ia adalah medan muhasabah, ujian amanah, dan penilaian keikhlasan.

Jawatan bukan kemuliaan

Dalam PAS, jawatan tidak dianggap sebagai satu kemuliaan atau simbol kekuasaan.

Ia bukan juga ruang untuk pencarian pengaruh atau kedudukan, sebaliknya ia dilihat sebagai satu beban amanah yang akan ditanya bukan sahaja oleh ahli jemaah, tetapi juga oleh Allah SWT di hari perhitungan kelak.

Seperti yang selalu ditekankan oleh para murabbi gerakan Islam, jawatan adalah “tanggung di dunia, jawab di akhirat.”

Justeru, sesiapa yang dicalonkan, dilantik atau dipilih, mereka sebenarnya sedang memikul satu beban berat, yang memerlukan kekuatan jiwa, keikhlasan niatbdan kefahaman mendalam terhadap misi dakwah serta matlamat harakah Islamiah ini.

Tidak menang, juga tidak kalah

Dalam budaya PAS, tidak memegang jawatan bukanlah satu kekurangan. Tidak menjadi Ahli Jawatan Kuasa (AJK) kawasan, cawangan, mahupun negeri bukan bermakna seseorang itu gagal dalam perjuangan.

Begitu juga mereka yang kekal sebagai ahli biasa mereka tetap pejuang, tetap mujahid, jika mereka istiqamah menyumbang dan memberi sokongan kepada gerakan ini.

Seperti yang sering diungkapkan oleh murabbi dalam PAS, bukan semua yang tidak pegang jawatan itu gagal, dan bukan semua yang berada di atas itu sedang menang.

Kemenangan sebenar dalam perjuangan ini bukan pada nama di atas kertas, tetapi pada nilai istiqamah, sumbangan walaupun dalam diam, dan kesetiaan kepada prinsip walaupun tidak dipuji.

Budaya bertanding yang matang

Dalam sejarah PAS, budaya pemilihan diurus dengan adab dan akhlak Islam yang tinggi. Tiada kempen melampau, tiada politik wang, tiada perebutan kerusi.

Semua bertanding dengan semangat ukhuwwah dan keinsafan bahawa kemenangan atau kekalahan bukan ditentukan oleh tangan manusia semata-mata, tetapi qada’ dan qadar Allah SWT.

Setiap calon wajib menilai keikhlasan hati, adakah mereka benar-benar ingin membantu jemaah, atau hanya ingin memenuhi hasrat peribadi?

Jika yang pertama, maka teruskan dengan niat yang bersih dan bergantung harap hanya kepada Allah.

Jika yang kedua, maka berundurlah dengan penuh hormat. Bukan tentang siapa di depan, tapi siapa yang kekal melangkah

PAS telah membuktikan bahawa kekuatan gerakan ini bukan pada tokoh semata-mata, tetapi pada akar umbi yang istiqamah.

Para petugas seperti Jabatan Amal, Muslimat yang setia menyusun program, Pemuda yang cekal turun padang, dan ahli-ahli biasa yang sentiasa hadir dalam usrah serta menyumbang walau dengan tenaga mereka inilah tunjang sebenar perjuangan.

Perjuangan ini bukan milik individu, tetapi milik semua yang percaya kepada cita-cita Islam. Seorang ketua tidak akan mampu membawa perubahan tanpa sokongan jemaah.

Begitu juga jemaah tidak akan berkembang tanpa kepimpinan yang berwibawa dan amanah.

Doa sebagai benteng dan panduan

Setiap kali menjelang pemilihan, para ahli digalakkan memperbanyakkan doa.

Doa agar Allah memilihkan untuk jemaah ini pimpinan yang terbaik bukan yang paling popular, tetapi yang paling layak dari segi ilmu, amal, adab dan ketahanan diri.

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا
“Ya Allah, lantiklah untuk urusan kami orang-orang terbaik di kalangan kami, dan janganlah Engkau lantik orang-orang yang terburuk di kalangan kami.”

Doa ini bukan sekadar lafaz, ia adalah pengakuan bahawa kuasa sebenar bukan pada undi kita, tetapi pada ketetapan Allah SWT.

Ia juga satu pengharapan agar keputusan yang lahir daripada mesyuarat agung nanti bukan sekadar sah di sisi perlembagaan, tetapi diberkati dan diredhai oleh Allah.

Masa untuk membina

Musim pemilihan bukan masa untuk menghukum atau melabel, tetapi masa untuk membina kekuatan baru.

Setiap individu yang terlibat sama ada dipilih atau tidak  mempunyai peranan penting dalam memastikan PAS terus relevan, berprinsip dan berfungsi sebagai gerakan Islam yang membawa rahmat kepada semua.

Jika dipilih, maka pikullah amanah itu dengan jujur dan berkhidmatlah seikhlas mungkin. Jika tidak, kekallah istiqamah sebagai ahli yang menyokong dan menyumbang. Apa pun peranan kita, ingatlah kita semua akan disoal kelak.

Mudah-mudahan setiap pemilihan dalam PAS akan melahirkan saf kepimpinan yang lebih kukuh, berjiwa murabbi, berakhlak Islami dan sentiasa meletakkan Allah di hadapan dalam setiap keputusan.

Kerana dalam perjuangan ini, kemenangan bukan terletak pada kedudukan, tetapi pada istiqamah yang tidak goyah walau dalam senyap. – HARAKAHDAILY 11/5/2025

- Advertisement -
- Advertisement -