
KUALA TERENGGANU: Usaha memperkukuh pelancongan patuh syariah di Terengganu terus diperkasakan menerusi kerjasama erat antara Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Jawatankuasa Pelancongan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato’ Razali Idris semalam menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin.
Menurutnya, pertemuan itu memberi fokus kepada usaha memantapkan garis panduan pelaksanaan industri pelancongan negeri agar lebih selari dengan nilai-nilai Islam dan prinsip syariah.
“Kerjasama antara JHEAT dan penggiat industri pelancongan perlu diperkukuh bagi memastikan pembangunan sektor ini tidak bercanggah dengan asas budaya dan agama negeri.
“Terengganu terkenal dengan pendekatan pelancongan berteraskan Islam. Maka adalah penting garis panduan yang jelas dan menyeluruh diwujudkan supaya matlamat ini tercapai,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.
Menurutnya, pemantapan polisi dan kawal selia pelancongan patuh syariah bukan sahaja meningkatkan imej Terengganu, malah mampu menarik segmen pelancong yang mencari destinasi bercuti berlandaskan prinsip Islam.
Selain itu, katanya, kerjasama yang lebih sistematik antara pihak agama dan pemain industri pelancongan perlu diwujudkan bagi memastikan pembangunan sektor itu tidak tersasar daripada acuan budaya dan agama. – HARAKAHDAILY 9/5/2025




















