Bekalan air pulih sepenuhnya di Kangar, Kuala Perlis

Lebih 22,000 akaun pengguna kembali terima bekalan air

- Advertisement -

KANGAR: Setelah lebih 22,000 akaun pengguna terjejas akibat kerja pengalihan paip utama, bekalan air di sekitar Kangar dan kawasan sekitarnya kembali pulih sepenuhnya mulai jam 5 pagi tadi.

- Advertisement -

Gangguan bekalan bermula sejak semalam, berpunca daripada kerja-kerja pengalihan paip oleh Syarikat Air Perlis (SAP) yang dilakukan di laluan susur keluar dan masuk dari FT 194, Jalan Changlun Kuala Perlis ke Utan Aji.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Negeri, Izizam Ibrahim berkata, projek tersebut merupakan sebahagian inisiatif kerajaan negeri bersama SAP dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menaik taraf infrastruktur air di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi.

“Lokasi ini sebelum ini hanya menggunakan titi simen kecil yang tidak lagi selamat untuk menampung tekanan dan aliran trafik. Maka kerja pengalihan paip baharu ini amat perlu untuk jangka masa panjang,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Meskipun pada awalnya kerja-kerja pengalihan dijadualkan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam semalam, namun beberapa cabaran teknikal termasuk pergerakan tanah dan kebocoran pada sambungan paip telah memaksa kerja-kerja diteruskan sehingga jam 3 pagi.

“Setelah kerja siap awal pagi, injap telah dibuka semula tetapi berlaku kebocoran pada sambungan yang memaksa SAP menutup kembali bekalan air ke kawasan terjejas,” jelas Izizam.

Kerja pembaikan segera dilaksanakan dan siap sepenuhnya menjelang jam 2 petang semalam, namun memandangkan jumlah akaun pengguna yang besar, pemulihan tekanan dan aliran air mengambil masa beberapa jam sebelum kembali normal.

Antara kawasan terlibat termasuk Kuala Perlis, Simpang Empat, Behor Mali, Utan Aji, Tambun Tulang, Sanglang, Sungai Bugis, Bongor Kudong serta sebahagian kawasan dalam Kangar seperti Jalan Raja Syed Alwi, Jalan Padang Behor, Kampung Bakau, Behor Temak, Pengkalan Asam, Behor Lateh, Seriab, Jalan Dato’ Ali dan Jalan Penjara Kangar.

“Keseluruhan 22,994 akaun pengguna terkesan sama ada melalui gangguan bekalan langsung mahupun tekanan air rendah,” jelasnya terhadap kerja pengalihan paip bersaiz 1000 milimeter jenis Paip Keluli Lembut Berlapis Simen (MSCL) itu.

Tambah beliau, kerja-kerja pengalihan seperti ini bukan sahaja perlu, tetapi menjadi antara langkah pencegahan penting bagi memastikan tidak berlaku insiden lebih serius yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya dan menjejaskan sistem bekalan air untuk jangka panjang.

Mengulas mengenai cadangan masa depan, Izizam mengambil maklum cadangan seorang pengguna di laman media sosial berkaitan cadangan agar SAP mengambil inisiatif tambahan dalam aspek penyampaian maklumat awal kepada pengguna.

“Saya ambil maklum berkaitan cadangan ini yang menyarankan sistem pesanan ringkas (SMS) atau WhatsApp dimajukan kepada semua pemilik akaun SAP sekurang-kurangnya 24 jam sebelum sebarang kerja penyelenggaraan dijalankan.

“Seperti yang dilakukan oleh syarikat-syarikat servis kereta atau motosikal yang menghantar peringatan awal, sistem seumpama itu membolehkan pengguna membuat simpanan air lebih awal dan mengurangkan kesan gangguan,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya akan meneliti semula Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada agar tindakan susulan seperti pembekalan air melalui lori tangki atau stesen pengambilan air boleh digerakkan dalam tempoh empat jam selepas gangguan dikesan.

Dalam pada itu, pihak SAP turut memohon maaf atas segala kesulitan dan berjanji untuk terus menambah baik mutu perkhidmatan mereka dan gangguan bekalan ini menjadi satu iktibar dan penanda aras baharu dalam pengurusan krisis infrastruktur air di negeri ini.

“Kerja-kerja ini sebahagian daripada usaha berterusan pihak SAP dan JKR untuk memastikan jaringan paip air lebih stabil dan tahan lama di kawasan berisiko, khususnya pada laluan kritikal yang terdedah kepada aliran trafik tinggi,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2025

- Advertisement -