PBB digesa bantu tamatkan konflik India-Pakistan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Hubungan Antarabangsa Dewan Muslimat PAS Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), organisasi antarabangsa dan Kerajaan Malaysia agar berperanan lebih agresif.

Ia untuk membantu menamatkan konflik serta ketegangan antara India dan Pakistan serta-merta demi mewujudkan keamanan yang berkekalan di rantau Asia Selatan.

Pengerusinya, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, sebagai dua negara berjiran yang mempunyai sejarah, nilai bersama dan hubungan kekeluargaan mendalam antara rakyatnya, permusuhan berterusan hanya membawa penderitaan dan kerugian kepada semua pihak.

“Pertelingkahan ini memberi kesan yang sangat buruk kepada rakyat kedua-dua negara, bukan sahaja dari segi keselamatan tetapi juga dari aspek ekonomi, sosial dan psikologi.

“Kedua-dua negara perlu meneruskan sikap saling menghormati sempadan negara jiran dan mematuhi undang-undang antarabangsa yang telah lama diamalkan sebelum ini,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Tumpat itu berkata, konflik seperti itu hanya menguntungkan pembekal senjata yang mendapat motivasi dan keuntungan daripada peperangan, sedangkan rakyat terus menanggung derita.

“India dan Pakistan sepatutnya menumpukan perhatian kepada pembangunan ekonomi, kesejahteraan negara dan masa depan generasi muda mereka.

“Sumber dan tenaga yang dibazirkan dalam ketegangan ketenteraan harus dialihkan kepada sektor pendidikan, kesihatan, dan kebajikan rakyat,” terangnya.

Katanya lagi, kelebihan dan kebolehan teknologi nuklear kedua-dua negara sepatutnya digunakan untuk manfaat dunia, bukan untuk memudaratkan.

“Kita sudah pun berdepan dengan krisis kemanusiaan yang besar seperti di Palestin, Rohingya dan Syria. Cukuplah dengan penderitaan yang sedia ada di pentas dunia.

“Tidak perlu ditambah lagi luka dan derita umat manusia dengan konflik baharu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat dan Timbalan Ketua Muslimat PAS Kelantan.

Dalam pada itu, katanya, Dewan Muslimat PAS Malaysia juga menyeru kepada pemimpin kedua-dua negara agar mengutamakan rundingan, diplomasi dan semangat kejiranan.

“Perdamaian bukan sahaja mungkin, tetapi sangat perlu, demi rakyat, demi rantau ini, dan demi dunia. Keamanan global tanggungjawab bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2025

- Advertisement -
- Advertisement -